Penduduk Melayu Tioman tolak kerjasama BN-PH

Pesurujaya PAS Pahang Ustaz Rosli Jabar dan Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor mendekati penduduk di Tioman
- Advertisement -

KOTA BHARU: PERIKATAN NASIONAL (PN) mempunyai kelebihan pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang akan diadakan pada 7 Disember ini.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rata-rata orang Melayu berpandangan negatif terhadap kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Kata beliau PN Pahang menaruh keyakinan yang tinggi untuk memenangi kerusi terbabit biar pun Umno sebelum ini mempunyai kekuatan di kawasan berkenaan.

“Umno diakui ada kekuatan di sana tetapi sebahagian besar orang Melayu tidak boleh menerima parti itu boleh bersama DAP dan PH.

“Orang Melayu di Tioman sekarang sangat memahami perkembangan politik yang berlaku sekarang. Itu menjadi momentum untuk kita melebarkan kejayaan insyaAllah,” katanya ketika ditemui di majlis kesyukuran PAS Kubang Kerian di perkarangan Masjid Takwa di Bandar Satelit Pasir Tumboh di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, semua jentera PAS telah digerakkan termasuk 17 wakil rakyat PN Pahang berkampung di Dun Tioman sehingga hari pengundian.

Malah katanya ceramah mega akan diadakan pada malam esok yang akan dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PN Pahang, Dato’ Saifuddin Abdullah.

“Harapan di Tioman, saya lihat gerak kerja sangat bagus, tersusun dan Adun-Adun kita 17 orang semua turun untuk bekerja dan melaksanakan kempen dengan mendekati pengundi,” ujarnya.

Pada PRU15 PN menguasai 17 Dun di Pahang, manakala BN (16) dan PH (8). – HARAKAHDAILY 28/11/2022

- Advertisement -