Misi Muslimat Rompin hantar Idayu ke DUN Pahang

Idayu (kiri) bersama Yang Dipertua PAS Rompin, Ustaz Nazri Ahmad dan Ketua Muslimat pada program ziarah sempena PRU15 DUN Tioman.
- Advertisement -

ROMPIN: Dewan Muslimat PAS Kawasan Rompin meneruskan usaha untuk memastikan wakil PERIKATAN NASIONAL bertambah seorang lagi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

- Advertisement -

Justeru, ketuanya, Rosmaria Yusof berkata, Muslimat PAS kawasan mempunyai misi untuk membawa suara wanita ke DUN Pahang menerusi calon PERIKATAN NASIONAL di DUN Tioman, Nor Idayu Hashim.

“Insya Allah, Muslimat PAS Rompin akan memastikan Idayu memenangi PRU15 bagi DUN Tioman kali ini setelah PERIKATAN NASIONAL memenangi kerusi Parlimen Rompin dan DUN Bukit Ibam,” ujarnya kepada Harakahdaily di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, dari segi gerak kerja pula, selain daripada menziarahi pengundi yang sakit dan susah, pihaknya mengambil kesempatan untuk cakna permasalahan setempat seperti masalah birokrasi sesuatu permohonan yang dibuat oleh penduduk kampung.

“Misi Dewan Muslimat juga berusaha menyelami hasrat dan kehendak anak muda setempat seperti masalah pekerjaan, rumah kediaman, tempat berekreasi dan beriadah,” katanya lagi.

Tambah beliau, pihaknya juga menerusi wakil rakyat berusaha menjadi penghubung yang terbaik antara rakyat terutama rakyat marhaen dengan pihak pentadbiran sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.

Justeru, beliau melahirkan keyakinan Idayu mampu melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di DUN Tioman bagi mengetengahkan permasalahan masyarakat setempat.

Nor Idayu adalah calon wanita tunggal pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15) DUN Tioman yang menghadapi saingan daripada penyandang daripada BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas)

Pengundian PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini, dengan 3 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – HARAKAHDAILY 28/11/2022

- Advertisement -