Pengundi beri respons baik kepada Nor Idayu

- Advertisement -

ROMPIN: Calon PERIKATAN NASIONAL di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, Nor Idayu Hashim menerima respons yang amat baik daripada para pengundi.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Rompin, Rosmaria Yusof berkata, pihaknya mendapati masyarakat secara umum menerima Nor Idayu pada pilihan raya ini.

“Kami melihat respons yang baik daripada para pengundi. Insya Allah mereka memberikan peluang untuk Puan Idayu ini sebagai calon di sini,” ujarnya ketika ditemui pada program bersama Nor Idayu, pagi ini.

Beliau berkata, pihak Muslimat PAS kawasan telah menyusun gerak kerja membantu calon bertemu dengan para pengundi di kawasan DUN Tioman.

“Alhamdulillah, kami Dewan Muslimat PAS, menyusun gerak kerja ini dari pagi, petang hingga malam untuk bantu calon bertemu dengan pengundi di sini.

“Kami merancakkan lagi dari sudut gerak kerja, bertemu dengan pengundi di semua tempat seperti pasar, kedai kedai dan sebagainya, yang dibantu dari kawasan-kawasan lain,” katanya.

Sehubungan itu, ujar beliau, pihaknya mengharapkan sokongan daripada semua pengundi untuk memberikan peluang kepada Nor Idayu mewakili mereka pada kali ini.

“Kami harap para pengundi semua dapat buat pilihan terbaik dan buat perubahan untuk DUN Tioman,” ujarnya.

Beliau yakin pemilihan Nor Idayu sebagai calon PERIKATAN NASIONAL di DUN Tioman dapat meneruskan usaha yang telah dilaksanakan oleh bekas calon, Almarhum Md Yunus Ramli.

“Alhamdulillah, Dewan Muslimat PAS Rompin menyambut baik dengan pemilihan ini dan kami melihat Puan Idayu sebelum ini adalah tulang belakang kepada arwah Md Yunus Ramli.

“Mereka sebelum ini kerap turun bertemu dengan masyarakat dan program kebajikan,” katanya.

Justeru, tambahnya pemilihan Nor Idayu sebagai calon dengan meneruskan usaha yang telah dilakukan membantu Almarhum Md Yunus itu akan memberi peluang kepadanya untuk mewakili masyarakat di DUN Tioman kali ini.

“Insya Allah, mudah-mudahan setelah kita dapat kemenangan di Parlimen Rompin, kita berjaya menang di sini, insya-Allah.

“Kita harapkan masyarakat di sini dapat memberikan peluang sekali lagi kepada calon PERIKATAN NASIONAL dan mudah-mudahan apa yang diberikan Nor Idayu sebagai calon di sini dapat memberikan yang terbaik kepada masyarakat di sini,” ujarnya.

Pada PRU15 DUN Tioman ini, Nor Idayu adalah satu-satunya calon wanita yang menghadapi saingan daripada calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas)

Pengundian PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini, dengan 3 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – HARAKAHDAILY 27/11/2022

- Advertisement -