Kisah di sebalik proses pelantikan PM10

- Advertisement -

SAYA tidak berniat untuk mengungkit apa yang telah berlaku. Bak kata orang, rumah sudah siap, pahat janganlah berbunyi. Biarlah rumah yang sudah siap itu didiami dengan aman oleh penghuninya.

- Advertisement -

Namun, saya terbaca beberapa tulisan yang tersebar di media sosial yang saya dapati faktanya adalah tidak tepat. Oleh itu, saya berasa terpanggil untuk menjelaskan beberapa fakta mengenai apa yang sebenarnya berlaku dalam proses pelantikan Perdana Menteri Ke-10 dari pengalaman dan pengamatan kaca mata saya sendiri. 

Pada 14 November 2022, saya telah dihubungi oleh Speaker Dewan Rakyat yang memaklumkan kepada saya beliau telah dipertanggungjawabkan untuk memudahcara proses pelantikan Perdana Menteri selepas PRU-15. Beliau menjangkakan tiada mana-mana parti yang boleh membentuk kerajaan sendiri dan dengan itu proses rundingan antara parti mesti dilaksanakan untuk memilih Perdana Menteri.

Pada malam 19 November 2022, iaitu malam keputusan PRU15 diumumkan, Speaker Dewan Rakyat sekali lagi menghubungi saya untuk memaklumkan proses yang telah ditetapkan oleh pihak Istana Negara mengenai pelantikan Perdana Menteri. 

Pada malam itu, SPR mengumumkan PERIKATAN NASIONAL (PN) telah memenangi 73 kerusi, tidak termasuk 4 kerusi BERSATU yang ditandingi menggunakan logo GRS di Sabah, yang menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang dimenangi adalah 77 kerusi. Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Barisan Nasional 30 kerusi. Ini menjadikan Tan Sri Muhyiddin antara front runner calon Perdana Menteri.

Pada malam yang sama, saya menerima pesanan menerusi whatsapp daripada Dato’ Seri Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara yang menjelaskan secara terperinci proses pelantikan Perdana Menteri yang mesti dipatuhi. Saya jawab ringkas ucap terima kasih dan mengambil maklum.

Mesej Dato’ Seri Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara ini saya bacakan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk makluman beliau. Kandungan mesej inilah yang Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) sebutkan secara umum semasa beliau membuat sidang media pada awal pagi 20 November 2022 setelah PN disahkan memenangi 73 kerusi Parlimen. Cuma beliau terkhilaf mengatakan telah menerima surat dari Istana Negara. Bukan surat, tetapi mesej whatsapp

Dokumen proses lantikan

Pada pagi 20 November 2022, saya menerima sepucuk surat daripada Speaker Dewan Rakyat yang secara rasminya memperincikan proses pelantikan Perdana Menteri. Ketua-ketua Parti diminta untuk mengemukakan surat sokongan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat yang dinamakan sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan menyenaraikan Ahli-ahli Dewan Rakyat dari parti tersebut yang memberikan sokongan. Bagi Ahli Dewan Rakyat bebas, mereka diminta mengemukakan Surat Akuan Berkanun. 

Calon Perdana Menteri pula mesti mengemukakan Surat Akuan Berkanun yang mengesahkan beliau telah mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan melampirkan surat dan dokumen yang berkaitan. Semua surat dan dokumen ini mesti dihantar ke Istana Negara melalui emel, fax atau whatsapp sebelum jam 2:00 petang, 21 November 2022.

Pada petang hari yang sama, saya menerima sepucuk surat lagi daripada Speaker Dewan Rakyat yang menghendaki setiap Ahli Dewan Rakyat mengemukakan Surat Akuan Berkanun. Surat daripada ketua parti sahaja tidak memadai.

Saya memaklumkan perkara ini kepada Setiausaha Eksekutif PN. Kebetulan Ahli-ahli Dewan Rakyat PN telah dipanggil untuk berkumpul di Glenmarie Resort, Shah Alam. Pesuruhjaya sumpah telah diatur untuk menyediakan surat-surat akuan berkanun untuk ditandatangani oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat PN.

Pada masa yang sama, 22 Ahli Dewan Rakyat GPS, 6 Ahli Dewan Rakyat GRS dan 1 Ahli Dewan Rakyat KDM yang menyokong TSMY sebagai Perdana Menteri juga telah diminta untuk menandatangani surat akuan. Selain itu, 10 Ahli Dewan Rakyat BN dan 2 Ahli Dewan Rakyat bebas juga turut menandatangani surat akuan secara berasingan.

Lompat parti?

Saya telah merujuk kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai kedudukan Ahli-ahli Dewan Rakyat BN kerana mereka menandatangani surat akuan tanpa kebenaran daripada parti. Beliau menjelaskan kepada saya bahawa dalam pelantikan Perdana Menteri, Ahli Dewan Rakyat secara individu mempunyai hak di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat lain untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Kebenaran parti tidak diperlukan.

Saya juga ditunjukkan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 yang mengesahkan bahawa tindakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang bertentangan dengan arahan parti politik tidak dianggap bertukar parti dan beliau tidak terhenti daripada menjadi Ahli Dewan Rakyat.

Maka, surat akuan yang ditandatangani oleh 10 Ahli Dewan Rakyat BN itu adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Sokongan 114 ADR

Pada pagi 21 November 2022, sudah terkumpul 114 Surat Akuan Berkanun Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Staf Ibu Pejabat PN menyusun semua dokumen ini dan membuat semakan akhir di hadapan saya. Pada pukul 1:28 petang, Setiausaha Eksekutif PN telah menghantar semua dokumen ini ke Istana Negara menerusi emel dan whatsapp

Berdasarkan maklumat awal yang saya terima daripada pihak Istana Negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dijangka membuat semakan dokumen-dokumen yang dihantar pada jam 2.30 petang dan jika baginda berpuas hati, majlis mengangkat sumpah Perdana Menteri Ke-10 akan diadakan pada jam 4:00 petang hari yang sama.

Pada masa itu, saya hampir pasti Tan Sri Muhyiddin akan dipanggil menghadap untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Namun, lebih kurang jam 1:30 petang saya mendengar pengumuman mengenai pelanjutan tempoh masa penyerahan dokumen-dokumen tersebut ke Istana Negara sehingga jam 2:00 petang keesokannya, iaitu penangguhan selama 24 jam. 

Sebelum itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan beberapa orang pimpinan PH telah pergi ke Hotel Seri Pacific di mana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN, dan Ahli-ahli Dewan Rakyat BN berkumpul. Susulan pertemuan itu, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Sementara telah membuat kenyataan media meminta pelanjutan masa penyerahan dokumen-dokumen yang berkaitan ke Istana Negara. Perdana Menteri Sementara juga dilaporkan oleh media telah mengadap YDPA pada petang itu.

Selepas itu, saya mendengar khabar angin bahawa 10 Ahli Dewan Rakyat BN telah diarah untuk menandatangani surat menarik balik sokongan mereka kepada Tan Sri Muhyiddin. Namun, saya diberitahu mereka masih ‘intact’ menyokong Tan Sri Muhyiddin. Sekiranya mereka dipanggil menghadap oleh YDPA, mereka akan menyembah maklum kepada YDPA bahawa mereka menyokong Tan Sri Muhyiddin.

Ini kerana mereka sedar bahawa jika mereka menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Pakatan Harapan menjadi kerajaan, mereka akan ditolak oleh akar umbi Umno sendiri.

Mendengar penjelasan ini, saya percaya bahawa pada ketika itu Tan Sri Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti, walaupun ada khabar angin sebaliknya.

Keesokannya, PN menghantar satu lagi surat akuan ke Istana Negara menjadikan jumlah keseluruhan surat akuan 115.

Mengatur pertemuan PN-BN

Dalam perkembangan yang lain, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung BN, menghantar pesanan whatsapp ringkas ‘salam’ kepada saya pada jam 12 pagi, 21 November 2022. Saya tidak membaca pesanan ini kerana mungkin telah tertidur.

Pada tengahari 21 November 2022, SUA BN menghubungi saya memberitahu bahawa wakil-wakil BN ingin berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin dan wakil-wakil PN di Hotel Seri Pacific. Tujuannya ialah untuk mendengar apa tawaran PN kepada BN jika BN bersetuju membentuk kerajaan bersama PN. BN telah pun mendengar tawaran PH. 

Saya bertanya SUA BN adakah hal mengenai kes mahkamah Presiden Umno akan dibincangkan. Beliau jawab tidak. Saya beritahu SUA BN yang saya akan merujuk perkara ini kepada Majlis Tertinggi PN. 

Pada malam 21 November 2022, saya menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Agung PAS yang menyampaikan pesanan Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) supaya perjumpaan dengan wakil-wakil BN disegerakan. Lalu saya menghantar pesanan whatsapp kepada Tan Sri Muhyiddin menyampaikan pesanan TGHH. Beliau membaca mesej saya pada jam 6:30 pagi keesokannya dan membalas ringkas ‘Boleh jumpa’. 

Saya terus menghantar mesej kepada SUA BN memaklumkan Tan Sri Muhyiddin sedia berjumpa pada tengahari. Perjumpaan ini diminta diadakan di ‘neutral ground‘. Masa yang ditetapkan ialah jam 1:00 tengahari dan kemudiannya atas sebab tertentu ditunda ke jam 3:00 petang.

Lebih kurang jam 2:30 petang, Setiausaha Sulit Kanan Kepada YDPA menghubungi saya memaklumkan Tan Sri Muhyiddin dititah menghadap pada jam 4:15 petang di Istana Negara. Lalu saya menghubungi SUA BN memaklumkan pertemuan pada jam 3:00 petang terpaksa ditunda ke suatu masa lain.

Tiada majoriti

Dalam sesi menghadap yang turut dihadiri oleh TGHH, Tan Sri Muhyiddin diberitahu bahawa beliau tidak memperolehi sokongan majoriti. Dikatakan 10 Ahli Dewan Rakyat BN telah menarik balik sokongan kepada beliau. Pengerusi BN sebaliknya telah menghantar surat kepada YDPA menyatakan 30 Ahli Dewan Rakyat BN menyokong DSAI sebagai Perdana Menteri.  Namun tiada Surat Akuan Berkanun yang dikemukakan seperti yang ditetapkan oleh pihak Istana Negara. 

DSAI dikatakan mempunyai 86 surat akuan berkanun yang menyokong beliau menjadi Perdana Menteri, sementara Tan Sri Muhyiddin mempunyai 105 surat akuan berkanun (setelah ditolak 10 yang dikatakan telah tarik balik sokongan). 

Oleh kerana terdapat keraguan, Tan Sri Muhyiddin mencadangkan supaya Istana Negara memanggil 10 orang Ahli Dewan Rakyat BN tersebut untuk mengadap YDPA bagi mengesahkan apa pendirian mereka yang sebenarnya. Ini juga kaedah yang sering digunapakai untuk memastikan seorang calon Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti jika terdapat keraguan. Cadangan ini diperkenankan oleh YDPA.

Tan Sri Muhyiddin kemudiannya dikemukakan dengan cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan. Beliau menyembah maklum kepada YDPA bahawa kerjasama dengan PH adalah bertentangan dengan dasar PN dan mandat pengundi. Oleh itu, beliau tidak boleh bersetuju dengan cadangan tersebut. Pendirian ini turut dipersetujui oleh TGHH.

Tan Sri Muhyiddin juga diberitahu bahawa DSAI juga berada di Istana Negara dan perancangannya ialah selepas itu akan diadakan perbincangan antara beliau dan DSAI. Tetapi oleh kerana Tan Sri Muhyiddin tidak  bersetuju dengan cadangan tersebut, beliau telah meminta izin daripada YDPA untuk beredar dari Istana Negara dan pulang ke rumah. 

Sebelum beredar, Tan Sri Muhyiddin telah diminta menandatangani perjanjian ‘Kerajaan Perpaduan’ yang antara kandungannya ialah penggiliran jawatan Perdana Menteri. Beliau menurunkan tandatangan dan menyatakan tidak bersetuju.

Pada petang itu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan 30 Ahli Dewan Rakyat BN dititah mengadap pada jam 10 pagi keesokannya. Pada masa ini saya masih menaruh harapan bahawa Tan Sri Muhyiddin boleh mendapat sokongan majoriti sekiranya benar Ahli-ahli Dewan Rakyat BN menyembah maklum kepada YDPA bahawa mereka sebenarnya menyokong Tan Sri Muhyiddin. 

Syarat BN

Pada malam 22 November 2022, telah diatur pertemuan antara wakil-wakil PN dan wakil-wakil BN di Hotel St Regis Kuala Lumpur. Wakil-wakil PN yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin telah menunggu, tetapi wakil-wakil BN tidak kunjung tiba. Rupa-rupanya ada ‘miscommunication‘.

Saya hubungi semula SUA BN pada malam itu dan dicadangkan pertemuan dengan wakil-wakil BN diadakan pada jam 10 pagi keesokannya. Saya bertanya bukankah Ahli-ahli Dewan Rakyat BN dititah mengadap pada masa yang sama? Saya diberitahu BN telah memohon supaya sesi menghadap tersebut ditangguhkan.

Pada pagi keesokannya, saya dimaklumkan oleh SUA BN bahawa perjumpaan dengan wakil-wakil BN terpaksa ditangguhkan ke jam 3:00 petang. Ini kerana beberapa wakil BN yang terlibat dalam perbincangan dengan PN dititah menghadap YDPA pada jam 10:00 pagi.

Turut dipanggil menghadap pagi itu ialah wakil-wakil GPS. YB Datuk Seri Fadzillah yang mewakili GPS membuat kenyataan selepas sesi menghadap tersebut bahawa GPS kekal menyokong TSMY, tetapi menyerahkan kepada budi bicara YDPA untuk membuat keputusan mengenai siapa yang diperkenankan oleh baginda untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dalam perbincangan dengan wakil-wakil BN yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi BN (Pengerusi BN tidak hadir) pada petang 23 November 2022, BN telah mengemukakan beberapa pernyataan hasrat berhubung cadangan kerjasama dengan PN. Pernyataan hasrat ini berkisar mengenai jawatan-jawatan di dalam Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri, pelantikan Senator, Ahli-ahli Lembaga Pengarah GLC dan badan-badan berkanun serta beberapa perkara lain berhubung kerjasama dalam pilihan raya negeri.

Tan Sri Muhyiddin memberi respon bahawa PN secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan jawatan-jawatan tersebut dengan beberapa cadangan balas. Secara berseloroh, Tan Sri Muhyiddin mengingatkan mereka bahawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri, beliau sendiri menjemput pimpinan MCA dan MIC untuk berada di dalam Kabinet, walaupun nama mereka tiada di dalam senarai. Malah, jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri juga selepas itu diberikan kepada Umno. Perbincangan berlangsung dalam suasana yang mesra dan nampak positif.

Timbalan Pengerusi BN memaklumkan bahawa beliau akan melaporkan hasil perbincangan ini dalam Mesyuarat MKT Umno pada sebelah malamnya. Lanjutan daripada perbincangan ini, SUA PN telah menulis sepucuk surat kepada Timbalan Pengerusi BN menyatakan beberapa cadangan balas PN yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut untuk dipertimbangkan oleh MKT Umno dan MT BN.

Keputusan MKT Umno

Namun, pada malam 23 November 2022, SUA Umno telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai keputusan MKT Umno yang bersetuju untuk membentuk Kerajaan Perpaduan Tanpa PERIKATAN NASIONAL. Ini bermakna, Umno telah membuat keputusan untuk menyertai kerajaan yang diterajui oleh PH. Mengikut kefahaman saya, Ahli-ahli Dewan Rakyat dari parti Umno mestilah terlebih dahulu menyokong DSAI sebagai Perdana Menteri, barulah ‘Kerajaan Perpaduan’ yang diterajui oleh PH boleh ditubuhkan. Saya tidak pasti sama ada mereka menandatangani apa-apa Surat Akuan Berkanun menyokong DSAI sebagai Perdana Menteri seperti yang ditetapkan ke atas Tan Sri Muhyiddin.

Keesokannya, Majlis Raja-raja mengadakan perbincangan di Istana Negara. Hasil perbincangan tersebut, DSAI telah diperkenankan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10. 

Inilah catatan peristiwa daripada pengalaman dan pengamatan saya secara peribadi yang terlibat secara langsung di pihak PN dalam proses pelantikan Perdana Menteri Malaysia Ke-10. 

Mudah-mudahan pahat tidak lagi berbunyi. Mudah-mudahan tuduhan-tuduhan yang mengatakan Tan Sri Muhyiddin derhaka, sombong dan tidak mahu berunding tidak kedengaran lagi. Mudah-mudahan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menjalankan tugasnya dengan penuh berintegriti dan bertanggungjawab menggendong amanah agama, bangsa dan negara. 

Kami telah melakukan yang sehabis baik mengikut peraturan dan kehendak Perlembagaan Persekutuan dalam melengkapkan proses pelantikan Perdana Menteri Ke-10 sepertimana yang ditetapkan oleh pihak Istana Negara. Berbekalkan tawakal dan sangka baik, kami reda.

MARZUKI MOHAMAD – HARAKAHDAILY 27/11/2022

Sumber asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0Rh8PQ7NR2LmdQZE53bqjwxLF3q6GVaQB17JBFHPYqEHu3o714s4TUKsMaHbv7PZbl&id=679581100&mibextid=Nif5oz

- Advertisement -