Kelantan komited pertahan pengurusan hutan berkualiti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melalui Jabatan Perhutanan Negeri (JPNK) memberi perkhidmatan cekap dan berkesan bagi memastikan industri pengeluaran kayu dapat diusahakan secara berterusan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri juga komited melaksanakan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).

Menerusi hasrat tersebut kata beliau, pihaknya mendapat pengiktirafan pengurusan hutan melalui Pensijilan Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 pada Julai lalu.

“Kerajaan negeri melalui JPNK telah mendapat anugerah tersebut yang diperolehi kerana kita ikut setiap garis panduan dan ketetapan dibuat oleh badan penilai.

“Kita komited dalam pengurusan pengeluaran kayu secara berkekalan catuan tebangan tahunan, itulah antara faktor kenapa kita diberi anugerah teebabit,” katanya menjawab soalan lisan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini hari ini.

Ahmad juga berkata, kerajaan negeri sedang berusaha untuk mengekalkan pencapaian tersebut dengan mengurangkan aktiviti pencerobohan hutan secara haram.

Beliau juga berkata, bagi menzahirkan sokongan terhadap kepentingan mengekalkan sumber kayu-kayan bagi kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di bawah amalan PHSB, JPNK mengambil tindakan dan risikan terhadap pencerobohan kawasan hutan.

“Satu ketika dahulu kita pernah minta kerjasama tentera, walaupun bukan tugas mereka, supaya mereka buat operasi tertentu menakut-nakut pihak yang mengambil peluang.

“Di samping itu kita juga sentiasa membuat operasi untuk mengelak daripada penceroboh yang hendak menembak binatang liar dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/11/2022

- Advertisement -