KOTA BHARU: Penurunan nilai matawang ringgit bukan faktor utama yang menjejaskan pendaratan bot-bot nelayan di Tok Bali, Pasir Puteh.
Sebaliknya kerajaan negeri menyedari beberapa faktor antaranya kadar lesen aktif semakin berkurang dan sukar memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata vesel-vesel sedia ada begitu lama usia.
Pada masa sama, menurutnya pengusaha laut dalam tidak ramai yang bersedia menambah jumlah vesel ekoran kos operasi yang tinggi.
“Walau bagaimanapun, tahun ini, Jabatan Perikanan menyasarkan pendaratan ikan marin sebanyak 61,000 metrik tan dan sehingga September lepas yang direkodkan bagi 4 daerah yang menunjukkan prestasi positif ke arah mencapai sasaran tahunan.
“Sektor perikanan merupakan satu perkhidmatan perlu malah tiada sekatan ke atas pelaksanaan atau pengoperasian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya menjawab soalan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Semerak) pada sidang Dun hari ini.
Katanya, selepas pengumuman kerajaan pembukaan semula ekonomi dan pengisytiharan virus Covid-19 sebagai endemik, sektor perikanan ke arah peningkatan pendaratan ikan marin.
Menurutnya Jabatan Perikanan juga sebagai pemudahcara turut memastikan pengoperasian vesel penangkapan ikan tempatan dapat beroperasi sepenuhnya dengan mematuhi semua langkah kawalan penularan Covid-19 dan dasar prosedur pelesenan yang berkuatkuasa. – HARAKAHDAILY 27/11/2022