‘Insya-Allah, kita percaya Idayu akan menang di Tioman’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Calon PERIKATAN NASIONAL, Nor Idayu Hashim mampu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, kali ini.

- Advertisement -

Exco Kerajaan Kelantan, Dato’ Mumtaz Md Nawi menyatakan perkara itu ketika bertemu Idayu semasa dalam perjalanan pulang ke Tumpat setelah berada di ibu negara.

Beliau yang memenangi kerusi Parlimen Tumpat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memuat naik rakaman perbualan bersama Idayu di Facebooknya, semalam.

“Alhamdulillah PERIKATAN NASIONAL telah menghantar seorang wakil daripada muslimat, wanita kita insya-Allah, orang muda yang akan bersama dengan kita.

“Jadi insya-Allah, sama-sama kita pastikan kita akan tambah kerusi dalam DUN Pahang untuk menghantar seorang wanita muda untuk mewakili PN kali ini, insya-Allah.

“Pada 7 Disember kita akan bersama-sama dengan Idayu Hashim, insya-Allah di DUN Pahang.

“Kita mohon doa dari semua rakyat kita untuk mendoakan kemenangan bagi calon PN N.42 (Tioman),” ujarnya yang mesra dengan panggilan Kak Taz.

Katanya, PN yang berpegang kepada prinsip Bersih, Prihatin dan Stabil didukung dengan penglibatan wanita mampu memenangi DUN Tioman.

“Insya-Allah ianya bukan berasas kepada emosi tetapi berasaskan kepada ilmu,” tambahnya.

Beliau percaya, penglibatan golongan wanita dan wanita muda dalam PRU15 yang membantu kemenangan PN di tempat lain akan membantu Idayu selaku anak tempatan memperolehi kemenangan di DUN Tioman kali ini.

“Insya-Allah sebagai wanita dan anak tempatan di Tioman insya-Allah kita percaya calon kita Idayu Hashim akan menang kali ini,” ujarnya.

Nor Idayu adalah calon wanita tunggal pada PRU15 DUN Tioman yang menghadapi saingan daripada calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas)

Penamaan calon telah berlangsung Khamis susulan pengundian PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini, dengan 3 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – HARAKAHDAILY 26/11/2022

- Advertisement -