Idayu mahu bawa suara wanita, anak muda ke DUN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Calon PERIKATAN NASIONAL di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim berusaha membawa isu wanita dan pengundi muda setempat untuk diselesaikan sekiranya dipilih sebagai ADUN.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau sangat berharap semua pengundi di Rompin dan di luar dapat pulang dan mengundi beliau pada 7 Disember nanti.

“Harapan saya kepada pengundi muda, saya harap mereka dapat menyokong saya supaya saya dapat membawa suara-suara wanita dan pengundi-pengundi muda di sini untuk kita mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan-permasalahan yang mereka hadapi di sini, insya-Allah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian menerusi rakaman yang dimuat naik di Facebook Exco Kerajaan Kelantan, Dato’ Mumtaz Md Nawi, semalam. Mumtaz menemui Idayu ketika dalam perjalanan dari ibu negara ke Kelantan.

Mengenai Tioman, beliau berkata pulau itu berpotensi untuk industri pelancongan kerana ia memang lokasi yang popular.

“Saya rasa potensi untuk pelancongan itu sangat baiklah dengan kedudukan di tepi pantai dan sebagainya dan seharusnya dibina dengan peningkatan dalam sektor pelancongan itu,” katanya lagi.

Ibu kepada tiga orang anak itu yang minta dalam bidang keusahawanan berpandangan kaum wanita sebenarnya boleh bekerja dan mencari kewangan untuk membantu keluarga.

“Daripada minat saya dan kesedaran untuk mencari income, saya rasa insya-Allah kita akan cuba membantu para wanita di sana untuk mendapat income yang stabil dan membantu keluarga, insya-Allah,” ujarnya yang tinggal di Kampung Pianggu, Rompin.

Nor Idayu adalah calon wanita tunggal pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15) DUN Tioman yang menghadapi saingan daripada calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas)

Penamaan calon telah berlangsung Khamis susulan pengundian PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini, dengan 3 Disember ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – HARAKAHDAILY 26/11/2022

- Advertisement -