Usah berdukacita duhai pejuang!

- Advertisement -

ISLAM adalah negara, pemerintahan, keselamatan, kebudayaan, ekonomi dan undang-undang sebagaimana juga Islam adalah aqidah, dakwah, akhlak dan ibadah khusus. Sudah terlalu banyak tulisan para ulamak mengenainya. Inilah Islam yang mulia dan dimuliakan umat dengannya 

- Advertisement -

Pelaksanaannya adalah mengikut kadar upaya kita sebagai seorang Muslim, jamaah Islam dan masyarakat Islam. Keupayaan melaksanakannya itu memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh. Bersungguh-sungguh inilah jihad di dalam bahasa Al-Quran dan As-Sunnah.

Akan ada orang yang berpandangan itu adalah ideologi aliran sebahagian orang Islam. Tapi kita meyakini bahawa itu adalah fikrah Islam yang tulen dan itulah yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W berdasarkan pedoman Al-Quran yang boleh kita teliti di dalam kitab-kitab Hadis dan Sirah. 

Kekangan kita adalah realiti masyarakat Islam dan bukan-Islam serta kejahilan mereka kepada Islam yang syumul. Juga usaha berterusan musuh-musuh Islam yang anti kepada Islam. Oleh yang demikian jangan merasa lemah dan jangan berputus asa. Bacalah Sirah Rasulullah S.A.W yang penuh dengan kepayahan, mehnah dan tribulasi.

Bacalah kisah perjuangan para anbiya’ dan mursalin dengan segala cabaran dan kepayahan mereka di atas jalan dakwah. Bacalah kisah perjuangan umat Islam di sepanjang zaman malah pada hari ini di seluruh dunia. Ujian perjuangan mereka lebih menyayatkan hati.

Kita akan menyedari bahawa ujian kita masih terlalu sedikit berbanding ke semua di atas itu. Malah nikmat dan kurnia Allah kepada kita masih terlalu banyak. Teruskan usaha memecah tembok kejahilan masyarakat kepada Islam.

Terus perkukuhkan kekuatan yang kita sudah miliki. Tutup serapatnya benteng pertahanan dari pencerobohan musuh. Jangan buka pintu perbalahan sesama sendiri. Kuatkan ketumbukan batalion kita. Satukan hati. Luaskan dakwah dan islah selebar-lebarnya:

{ وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحۡزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلۡأَعۡلَوۡنَ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِینَ (139) إِن یَمۡسَسۡكُمۡ قَرۡحࣱ فَقَدۡ مَسَّ ٱلۡقَوۡمَ قَرۡحࣱ مِّثۡلُهُۥۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَیَّامُ نُدَاوِلُهَا بَیۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِیَعۡلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَیَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُهَدَاۤءَۗ وَٱللَّهُ لَا یُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِینَ (140) }

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (139) Jika kamu terluka, maka sesungguhnya kaum (yang memerangi kamu) itu juga mendapat luka yang sama. Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid (mati dalam perjuangan). Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (140)”

[Âl-`Imrân: 139-140]

USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 25/11/2022

- Advertisement -