Tanggungjawab baharu pasca PRU15

MAKA akhirnya terbentuklah kerajaan gabungan yang diterajui oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. PERIKATAN NASIONAL akan menjadi pembangkang sehingga Pilihan Raya Umum yang akan datang atau sehingga kerajaan hari ini tumbang. Walaupun tanggungjawab yang berat adalah pada gabungan yang membentuk kerajaan namun PERIKATAN NASIONAL turut mempunyai tugas yang juga sama berat.

Advertisement

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, PERIKATAN NASIONAL menerima 4,612,578 undi berbanding dengan PAS pada pilihan raya sebelum ini sebanyak 2,015,664 undi. Peningkatan sebanyak 90 peratus ini juga diiringi dengan satu tanggungjawab. Mereka yang mengundi PERIKATAN NASIONAL sudah tentu mengharapkan sesuatu dari PERIKATAN NASIONAL walaupun ia bukan kerajaan di peringkat Persekutuan. Paling kurang gabungan ini perlu menawarkan kepimpinan (provides leadership) yang jelas di dalam senario politik yang penuh dengan penipuan dan pengkhianatan ini.

Sepertimana yang dapat dilihat, mereka yang mengundi PERIKATAN NASIONAL adalah terdiri dari pelbagai latar belakang sama ada sosial atau pendidikan. Tidak mudah untuk mengenalpasti siapa yang mengundi gabungan tersebut hanya dengan melihat penampilan seseorang. Justeru itu kepimpinan yang hendak ditawarkan mestilah berupaya merentasi semua lapisan masyarakat. Mereka mesti berupaya memimpin sama ada yang tua atau yang muda, sama ada yang tinggal di bandar atau di luar bandar, sama ada golongan profesional atau golongan Marhaen, sama ada yang pergi ke masjid 5 kali sehari atau yang pergi ke masjid seminggu sekali. Kesemuanya perlu dilayani dan disantuni.

Sebagai parti dengan bilangan ahli yang teramai dan parti yang memiliki bilangan Ahli Parlimen yang tertinggi, PAS memiliki tanggungjawab yang lebih besar. Pemimpin-pemimpin PAS mesti yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat jika PAS benar-benar mahu menawarkan kepimpinan mereka kepada rakyat. PAS memiliki ramai pemimpin-pemimpin muda yang berkebolehan dan berkelayakan yang menang pada Pilihan Raya Umum yang lepas. Bukan sahaja harapan ahli-ahli tetapi harapan negara adalah pada mereka. Mereka perlu diletakkan di barisan hadapan dan bukan sekadar menjadi ‘nasi tambah’ semata-mata.

Kepimpinan yang diperlukan bukan sekadar di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat akar umbi. PAS mesti memimpin masyarakat di bawah. Mereka yang mengundi PERIKATAN NASIONAL sudah tentu akan bertanya apa yang dapat dilakukan oleh PERIKATAN NASIONAL dan PAS untuk mereka. PAS memiliki struktur organisasi yang jelas untuk membolehkan PAS berperanan di dalam masyarakat. Di peringkat paling bawah adalah PAS Cawangan yang duduk di dalam masyarakat. PAS Cawangan, jika berperanan, mempunyai hubungan terus dengan masyarakat malah adalah sebahagian dari masyarakat. Di atasnya pula adalah PAS Kawasan yang mengendalikan aktiviti di sesuatu kawasan Parlimen. Jika berperanan dan dipimpin oleh mereka yang mempunyai visi yang jauh, aktiviti-aktiviti PAS Kawasan adalah setaraf dengan aktiviti-aktiviti seorang Ahli Parlimen atau ADUN. Kedua-dua PAS Kawasan dan PAS Cawangan berupaya menawarkan kepimpinan mereka kepada masyarakat jika mereka berjiwa besar dan tidak sekadar ‘bertapa di dalam gua’.

Tahun hadapan merupakan tahun pemilihan bagi PAS di semua peringkat. Justeru itu ia merupakan peluang untuk melibatkan mereka yang berpotensi, berkelayakan dan mempunyai visi di dalam kepimpinan di mana-mana peringkat sekalipun. Melibatkan mereka yang berupaya menggalas tanggungjawab yang baharu ini. Melibatkan mereka yang bersedia menyahut cabaran di dalam landskap politik yang baharu. Pakatan Harapan sudah tentu tidak akan mengulangi kesilapan 22 bulan mereka dan sudah tentu ini adalah satu cabaran getir yang perlu dihadapi. Sekiranya PERIKATAN NASIONAL dan PAS tidak bersedia menghadapinya, mimpi ngeri 22 bulan akan menjadi 22 tahun. Retorika tidak akan ke mana-mana. Retorika hanya berguna untuk menenangkan hati yang sedih.

Pilihan Raya Umum merupakan peluang yang terbaik untuk menilai mana-mana kepimpinan. Pilihan raya adalah amat mencabar. Pimpinan dan ahli-ahli sentiasa didedahkan kepada tekanan. Keputusan perlu dibuat dengan pantas. Ia merupakan pentas di mana kepimpinan dan kebolehan seseorang didedahkan. Sama ada terserlah atau tenggelam. Berjaya atau gagal. Kelancaran gerak kerja di akar umbi sudah cukup untuk menceritakan kisah yang sebenar kerana kadang-kala statistik boleh dimanipulasi. Pilihan raya juga adalah peluang untuk mengenalpasti bakat-bakat yang baharu. Di dalam landskap politik yang baharu ini, ‘the more the better’. Anggaplah mereka sebagai aset bukan ancaman.

DATO’ ISKANDAR A. SAMAD
Bendahari PAS Pusat
25 November 2022 – HARAKAHDAILY 25/11/2022