Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat di atas jalan perjuangan ini,” ujar Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi laman Facebooknya, malam ini.

- Advertisement -

Katanya, beliau juga insan biasa, yang punya rasa sedih dan kecewa.

“Insan kerdil yang juga punya air mata,” tambahnya yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-15, Sabtu lalu.

Berikut tulisan penuh.

Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat di atas jalan perjuangan ini. Saya juga insan biasa, yang punya rasa sedih dan kecewa. Insan kerdil yang juga punya air mata.

Di saat memeluk isteri saya ini saya bukan sahaja merasa tenangnya hati, lapangnya dada, redha takdir Illahi.

Terngiang-ngiang laungan sokongan daripada anda semua ketika berkempen, dan komen-komen sokongan saudara saudari rakyat yang saya kasihi di media sosial.

Saya tahu. Saya bukan sendiri. Bersama dengan saya adanya saudara saudari yang kekal berdiri. Memapah saya agar terus berjalan dan berlari di landasan perjuangan ini.

Saya insafi, perjuangan ini bukan milik saya. Perjuangan ini milik kita bersama, rakyat Malaysia.

Perjuangan murni yang didasari tekad menyelamatkan negara. Perjuangan demi kedaulatan agama, bangsa dan negara kita.

Usah kita bersedih hati. Sudah tentu jalan ini jalan yang sukar. Jalan ini jalan yang panjang. Kita tidak akan berhenti dari terus berjalan dek kerana ujian yang melanda.

Ingatlah bahawa obor perjuangan tetap terus menyala. Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Jika kita sabar, dan berpegang teguh kepada amanah bangsa dan ikhlas dalam berjuang, insya-Allah akan sentiasa ada sinar di hujung jalan.

Pujuklah hati, bahawa esok hari masih ada. Kita bina Malaysia yang lebih baik dengan setiap kudrat yang ada, dalam apa jua kapasiti kita sekalipun. Ingatlah, Malaysia itu milik kita semua bersama.

Moga saudara saudari, sentiasa berada di dalam lindungan Allah SWT dan semoga perjuangan kita semua diredai Yang Maha Esa.

Terima kasih semua rakyat Malaysia.

Ikhlas daripada saya,
MUHYIDDIN YASSIN – HARAKAHDAILY 25/11/2022

- Advertisement -