PAS wadah pilihan anak muda Islam

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia PAS bukanlah sekadar satu parti politik yang fokus hanya kepada kuasa dan pemerintahan.

- Advertisement -

PAS adalah sebuah jamaah Islam yang bergerak kerja secara holistik dalam lapangan dakwah, politik dan tarbiah. Oleh sebab itu, kita selalu melihat langkah-langkah politik PAS yang dilihat janggal dan tidak menguntungkan politik PAS.

Sejarah PAS bermula jauh sebelum Tanah Melayu merdeka lagi. PAS adalah kesinambungan daripada perjuangan umat Islam dan alim ulamak yang menyedari kepentingan Islam menguasai politik dan pemerintahan negara, kepentingan amar makruf nahi munkar ditegakkan serta kepentingan Islam menjadi panduan memakmurkan muka bumi ini. 

Hal ini berpandukan beberapa dalil. 

i) Surah Ali Imran, Ayat 104:

﴿وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ  وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ١٠٤﴾

“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf, dan mencegah daripada perkara yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”

ii) Mencegah kemungkaran itu hukumnya kadang-kadang fardu ‘ain ke atas tiap-tiap orang Islam berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أضْعَفُ الإيمَانِ.

“Sesiapa dalam kalangan kamu melihat perkara mungkar, maka hendaklah mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu, maka (membenci) dengan hatinya, dan (membenci dengan hati) itu adalah selemah-lemah iman.” 

(Riwayat Muslim, no. 49)

iii) Allah menciptakan manusia sebagai hamba beribadat dan khalifah:

 وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِیَعۡبُدُونِ 

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” 

[Adh-Dhâriyât: 56]

{ وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ إِنِّی جَاعِلࣱ فِی ٱلۡأَرۡضِ خَلِیفَةࣰۖ …..

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi…”

[Al-Baqarah: 30]

Bermula di Sarekat Islam, kemudian menerusi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang menubuhkan Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (MATA), kemudian menjadi Hizbul Muslimin sebagai parti politik Islam pertama di tanah Melayu yang akhirnya tertubuh Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS). Ulamak dan pejuang Islam berterusan menubuhkan wadah politik buat umat Islam.

Setelah diharungi ranjau yang penuh dugaan, Parti Islam Se-Malaya yang ditubuhkan bermula 24 November 1951 ini selamat didaftarkan rasmi sebagai pertubuhan politik pada 31 Mei 1955.

PAS merupakan hasil manifestasi perjuangan Islam ketika itu yang disertai golongan ulamak, tuan guru pondok, tokoh Hizbul Muslimin seperti Ustaz Othman Hamzah, Ustaz Baharuddin Abd. Latiff, Tuan Haji Khaider Khatib dan Ustaz Yunus Haji Yatimi serta ulama daripada biro agama Umno yang menolak politik pemisahan agama di bawah Umno ketika itu.

Perlembagaan dan dasar PAS pula adalah jelas dan tidak berubah. Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qiyas menjadi sumber rujukan dalam setiap tindak tanduk PAS. Majlis Syura Ulamak yang mengumpulkan ulamak berkaliber pula menjadi penjaga kepada setiap dasar dan tindakan yang akan diambil. Aqidah perjuangan menjadi dasar PAS yang tidak boleh diganggu telah ditegaskan dalam Perlembagaannya pada Fasal 7(1) sebagaimana berikut:

“Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijmak ‘Ulamak dan Qias yang terang dan nyata.”

Sirah Nabi Muhammad S.A.W membuktikan. Golongan anak muda menjadi pendiri kepada tertegaknya syiar Islam dan tersebarnya dakwah Baginda Muhammad S.A.W. Antara tonggak perjuangan Baginda Nabi Muhammad S.A.W ialah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Usamah bin Zaid serta Al Arqam bin Abi Al Arqam.

Meskipun PAS dilihat sebagai parti ‘tua’, namun persepsi kononnya hanya orang tua bersama PAS adalah tidak tepat. Mahasiswa dan anak muda memerhati dengan teliti, apakah wadah yang terbaik buat anak muda Islam curahkan segala idealisme dan semangat yang ada pada diri kami.

Menyedari hakikat Islam sebagai Addin yang patut dijadikan panduan lengkap segenap inci kehidupan kita. Mahasiswa melihat, PAS adalah wadah yang patut disokong dan didukung dalam aspek politik dan dakwah umat Islam. Kami yakin dengan panduan daripada alim ulamak menerusi Majlis Syura Ulamak serta pentadbiran umarak haraki yang mempunyai kefahaman Islam yang baik.

PAS adalah wadah terbaik buat umat Islam. Seimbang akhirat dengan dasar dan tarbiahnya, seimbang jua dunia dengan prestasi cemerlang di Terengganu, Kedah dan Kelantan.

Pasca PRU-15, PAS menjadi parti tunggal yang mendapat undi tertinggi mengatasi Umno. Manakala PAS menjadi parti tunggal paling kuat apabila mempunyai kerusi Parlimen paling tinggi iaitu sebanyak 43 kerusi. PAS buat masa ini telah menguasai 4 buah negeri iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Pentadbiran Kedah yang cemerlang dari sudut ekonomi yang berjaya menarik hampir RM60 bilion pelaburan dalam masa 2 tahun, Terengganu pula berjaya mengotakan janji manifesto 100 peratus manakala Kelantan sedang rancak membangunkan infrastruktur negeri pasca era diskriminasi politik.

Inilah perjuangan PAS yang kami yakin akan wawasan akhirat yang dijadikan panduan. Hakikat bahawa aqidah dan iman yang patut memandu tindak tanduk kita dan bukannya ideologi manusia kami genggam dengan erat. Soal politik, ekonomi dan lain-lain kesemuanya tidak boleh dipisahkan daripada petunjuk wahyu bahkan kesemuanya akan ada balasannya kelak. Kami yakin mereka yang menjaga akhirat akan dikurniakan dunia. 

Selamat menyambut ulang tahun ke 71 bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Kami anak muda amat terhutang budi kepada perjuangan dan pengorbanan golongan terdahulu dalam memastikan dakwah Islam terus mekar. Insya-Allah akan kami sahut usaha ini dengan jihad dan pengorbanan.

UTHMAN CHE AZIZ
Pengerusi 
Kelab Mahasiswa Penyokong PAS Selangor – HARAKAHDAILY 25/11/2022

- Advertisement -