Kerajaan Perpaduan PH ‘jerat dan muslihat’?

Untuk tuduh PN derhaka Agong dan antiperpaduan

- Advertisement -

KERAJAAN Perpaduan yang ditawarkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika ini tidak lebih hanyalah satu jerat kepada banyak pihak. Paling tidakpun, ia cuma satu pelawaan untuk bersama yang sekadar ‘ajak-ajak ayam’.

- Advertisement -

Undangan berperangkap yang menjebak ini cuba disandarkan dengan titah Istana Negara kononnya. Ia permulaan untuk meletuskan persepsi bahawa pihak yang menolak sebagai telah bertindak menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Hakikatnya, tiadapun dokumen rasmi perintah tersebut, melainkan ia titah cadangan Baginda dalam konteks perbincangan iaitu bersama Anwar dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja. Cadangan tersebut dilihat sebagai merungkai kemelut ketika itu.

Oleh kerana selepas itu telah wujud jumlah diperlukan dan Tuanku membuat keputusan, maka tajuk Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya berbangkit lagi. Apatah lagi bila terdapat parti dan gabungan lain menegaskan penolakan seruan itu.

Maka apabila Anwar tetap juga menghulurkan idea itu, sudah tentu ada ‘udang di sebalik batu’ atau motif muslihat sedang dicaturnya. Jika diterima akan menanti akibatnya, hatta ditolak pun mesti bersedia berdepan segala manipulasinya.

Cadangan seumpama juga pernah diusulkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk kerajaan ketika beliau selaku Perdana Menteri Interim setelah meletakkan jawatan. Pun demikian ia gagal mencapai kesepakatan semua parti.

Begitu juga ketika peralihan antara Muhyiddin kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Pakatan Harapan (PH) turut mengajukan cadangan Kerajaan Perpaduan sebagai penyelesaian kemelut, dengan syarat Perdana Menteri diberikan kepada Anwar.

Cadangan Presiden PAS

Kerajaan Perpaduan sebenarnya pernah menjadi idea dicadangkan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi sejak tahun 2008 lagi. Ketika itu ia lebih popular dalam perbincangan dan sebutan ramai sebagai ‘UG’ iaitu dari perkataan Inggeris ‘Unity Government’.

Lontaran pada zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi itu susulan tamparan politik diterima Barisan Nasional (BN) hasil PRU11. Kehilangan majoriti dua pertiga, gugatan ‘Langkah 16 September’ Anwar dan siri-siri PRK menyebabkan kerajaan goyah.

Tuan Guru Abdul Hadi bimbang persengketaan politik berterusan antara Pakatan Rakyat (PR) dan Kerajaan BN akan menjadi semakin tegang. Ketidakstabilan politik yang meruncing dilihat beliau boleh menjerumus kepada suasana tidak terkawal.

Ditambah kegawatan ekonomi sedang menimpa, beliau khuatir negara hilang tumpuan dan mendedahkan pula kepada campur tangan asing. Bibit-bibit perkauman melampau dan pendekatan pihak berkuasa secara kuku besi cuba dihindari terjadi.

Konsep itu awalnya disambut penuh kekaguman terutama kalangan pimpinan PAS yang selalu ‘lepak’ di Pejabat Harakah Jalan Pahang. Bahkan warga kerja lidah rasmi PAS itu termasuk media-media setelit telah diminta mengembangkan idea tersebut.

Malah, ia turut dipersetujui oleh rakan tahaluf siyasi PAS dalam PR iaitu PKR dan DAP. Tetapi tidak lama, tiba-tiba ‘meletup’ apabila al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ‘menentang keras’ idea Kerajaan Perpaduan.

Hingga berbangkit gesaan diadakan Muktamar Khas serta dikenakan tindakan disiplin ke atas pemimpin-pemimpin ‘bermasalah’ yang menyokong cadangan itu. Pun demikian, gesaan tersebut dilaksanakan sebagai Seminar Memperkasakan Parti (SMP).

Perang saraf

Pejabat Harakah menjadi pusat gerakan para pemimpin yang ‘bersarang’ di situ mencatur adu-domba dan penolakan. Tujuan murni Tuan Guru Abdul Hadi itu telah disalahfahamkan serta dijadikan senjata serangan untuk mempertikaikan beliau.

Mereka mencipta doktrin propaganda menuduh UG itu terhasil dari komplot sulit di belakang antara PAS dan Umno. Sedangkan ianya idea kerajaan tanpa pembangkang dengan melibatkan semua parti politik bagi menangani situasi tadbir urus negara.

Bantahan menentang Tuan Guru Abdul Hadi itu malah digembleng para pemimpin tersebut dengan ‘hasutan’ kepada ahli-ahli PAS. Hingga pelbagai desakan dan tekanan ke atas Tuan Guru dilakukan oleh pemimpin PAS pro-Anwar dan sayang DAP itu.

SMP yang diadakan di Taman Melewar itu dijadikan kesempatan untuk mengkritik keras Tuan Guru secara terbuka menggunakan dua ahli akademik. Namun, sebahagian besar perwakilan cukup rasional dan mula nampak motif sebenar majlis itu.

Bahkan, Tuan Guru Nik Aziz setelah itu memahami dan menyatakan sokongan kepada idea konsep tersebut. Bagaimanapun, Tuan Guru Abdul Hadi menarik balik cadangan itu setelah Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak naik sebagai Perdana Menteri.

Pun demikian, UG itu terus menjadi momokan diratib berulang kali oleh para pemimpin pro-Anwar dan DAP untuk memburukkan Tuan Guru. Akhirnya mereka tersingkir pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 di Kuala Selangor tahun 2015.

Hakikat sebenar

Dua hari ini, tajuk Kerajaan Perpaduan sedang dijadikan modal politik dari pihak tertinggi PH hingga lasykar siber mereka. Ia pasti sedang diatur gerak untuk dijadikan isu jerangkap samar dan membuat pukulan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN).

Selain diputar belit dengan konotasi derhaka kepada titah Agong, ia dijadikan api memarakkan perkauman dan jurang untuk menuduh PN antiperpaduan. Realitinya, perpaduan anjuran Anwar itu tidak akan berlaku dalam nilai dan bentuk sebenar.

Malah, terburai kepalsuan dan hipokrit PH dan BN yang keras menolak sesama sendiri selama ini, rupanya berselingkuh di ranjang politik. Mereka yang dahulunya ketika bersama PAS gigih ‘menguburkan’ UG, kini adalah penaja megah menjulangnya.

TEKS TRANSKRIP

(Sebagai menjelaskan lebih terang gagasan Kerajaan Perpaduan pernah dicadangkan Tuan Guru Abdul Hadi, di sini dilampirkan transkrip sesi temubual khas bersama wartawan media-media PAS pada 24 April 2009)

Saya melihat masih ramai yang tak faham tentang ‘Unity Government’. Termasuk orang PAS sendiri dan kalangan pimpinan pun tak faham. Ini kerana kesibukan tak membaca buku-buku politik, dan tak membaca istilah-istilah politik.

Di mana dalam politik, ada kerajaan yang sepenuhnya. Ada ‘Unity Government’, ada ‘Coalition Government’, dan ada ‘Front National’ di Malaysia ni ‘Front National’. ‘Front National’ itu Barisan Nasionallah yang ada pembangkang.

Kerajaan Campuran ni ialah kerajaan yang antara satu parti yang memerintah dengan parti yang lain diajak sama dalam pemerintah, dengan syarat-syarat dibuat. Di mana kebiasaannya dia terikat, partinya terikat dengan syarat-syarat bersama dengan kerajaan dan tidak banyak perubahan dibuat.

Dan PAS berpengalaman dalam dua kerajaan iaitulah Kerajaan Campuran dan Kerajaan Barisan Nasional. ‘Unity Government’ bukan Kerajaan Campuran dan bukan Barisan Nasional, itu kena faham. Kerana ada orang PAS duduk faham masuk Barisan Nasional, campuran semula. Ini menandakan tak faham apa dia ‘Unity Government’.

Saya ketawa dan lucu, orang Umno membangkang, orang PAS. Orang Umno ada yang bersetuju dan banyak Umno yang bantah. Tapi orang PAS luar bangkang, dia tak tahu. Ini menandakan dia tak tahu ‘Unity Government’ ini tak tahu apa dia. Barangkali kalau dia tahu apa dia bentuknya, saya rasa dia boleh.

Dan oleh kerana banyak orang tak faham, maka saya tarik balik cadangan saya itu, saya tarik balik sehingga orang kita faham betul-betul.

Integriti UG

Dan sebenarnya ‘Unity Government’ kita bincang dalam dialog politik di kalangan kepimpinan PAS. Kita telah membincang semua aspek, aspek Barisan Nasional, aspek Kerajaan Campuran termasuklah ‘Unity Government’. Ini juga menjadi perbincangan.

Termasuklah aspek undi tak percaya. Dan ‘Unity Government’ yang saya kemukakan masa Tun Abdullah Badawi jadi Perdana Menteri, ini disokong oleh PKR, disokong oleh DAP. Dan DAP dengan PKR bersetuju dan saya telah memaklumkan kepada DAP. Dan DAP menyertai dalam beberapa usaha dilakukan.

Tetapi oleh kerana kita melihat orang Umno sendiri takut nak buat ‘Unity Government’. Mungkin dia takut kerana akan ada orang dia dibicarakan di mahkamah. Dia tak berani. Dengan sebab itu tak jadi, dengan sebab itu saya tarik balik cadangan saya.

Dan saya yakin di satu hari nanti orang akan terima cadangan saya, orang akan akan fikir balik, bila masa tenang balik dia akan fikir balik bila keadaan yang munasabah. Dan ‘Unity Government’ ni ialah untuk membuangkan orang yang bermasalah dalam negara. Bukan sahaja dalam kerajaan, termasuk dalam pembangkang sendiri.

Saya kemuka kepada Datuk Seri Abdullah Badawi masa itu. Masa itu. Kerana kita melihat dia yang paling kurang masalah. Dan saya tak nampak pemimpin Umno yang ada ni, termasuk Dr Mahathir. Dr Mahathir tak terima ‘Unity Government ‘kerana saya rasa Dr Mahathir dia faham ‘Unity Government’ ni termasuk dia sendiri pun akan dibawa ke mahkamah.

Manfaat UG

‘Unity Government’ ini Kerajaan Perpaduan yang melibatkan semua parti politik, tidak ada pembangkang langsung. Semua parti duduk dalam kerajaan. Dan semua parti ini ada identiti, ada sahsiah, ada keperibadian dan dia berhak untuk membangkang.

Di mana ‘Unity Government’ ini membolehkan orang dalam Umno sendiri bangkang kerajaan. Ini kita memecahkan tradisi yang dibuat oleh Umno yang ada pada hari ini di mana orang Umno tak boleh bangkang parti dia. Kalau bangkang kena pecat.

Kita, termasuklah kita membebaskan Umno sendiri. Ini kena faham. Dalam masa yang sama ‘Unity Government’ ini mestilah berlaku perubahan yang adil untuk semua rakyat termasuklah SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), termasuklah badan kehakiman, termasuklah pentadbiran, konsepnya mesti berubah, bukan apa yang ada hari ni.

Sebagai contoh di Indonesia saya sebut tadi, ‘Unity Government’ di Indonesia berlaku pemisahan kuasa di antara SPR, Suruhanjaya Pilihan Raya PEMILU di Indonesia dengan badan politik, pemisahan kuasa dalam badan kehakiman, sehingga badan kehakiman Indonesia boleh menyeret Soharto ke mahkamah.

Boleh menyeret Perdana Menteri dan Menteri-menteri ke mahkamah kalau melakukan kesalahan. Ini kita nak bersihkan negara. Di Israel sebagai contoh, Presiden Israel pun dibawa ke mahkamah. Perdana Menteri pun akan disiasat. Ini ‘Unity Government’.

Dan pilihan raya di Indonesia pilihan raya yang berubah. Di mana Barisan Nasional dia tidak ada hak untuk menggunakan TV. Termasuklah semua parti boleh guna TV. Rakyat ada kebebasan. Ini ‘unity’ yang kita kena faham.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 25/11/2022

- Advertisement -