Kelantan belum bincang tarikh Pilihan Raya Negeri

Dato' Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan belum membincangkan tarikh bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh terdekat biarpun momentum PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) begitu kuat.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, Kelantan mempunyai tempoh sehingga Mei untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Setakat ini kita belum bincang apa-apa lagi berhubung perkara itu. Lagi pun pengundi luar baharu pulang ke tempat kerja.

“Malah petugas pilihan raya termasuk media yang bekerja keras sepanjang tempoh kempen PRU15 belum sempat berehat lagi,” katanya di sini semalam.

Sehingga sekarang enam negeri belum mengadakan pilihan raya peringkat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Negeri-negeri terbabit menundakan tarikh pilihan raya mengambil kira musim tengkujuh sekarang.

Sementara itu Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS optimis keupayaan dua calon PERIKATAN NASIONAL yang bertanding di Parlimen Padang Serai, Dato’ Azman Nasrudin dan calon DUN Tioman, Nor Idayu Hashim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman pada 7 Disember dan pengundian awal 3 Disember. Tempoh berkempen selama 13 hari.

Pilihan raya di kedua-dua kawasan berkenaan sebelum ini ditangguh berikutan kematian calon iaitu M. Karupaiya mewakili Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli (PN) di DUN Tioman.

Karupaiya, 69, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan manakala Md Yunus, 61, meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian PRU15, Sabtu lalu. – HARAKAHDAILY 25/11/2022

- Advertisement -