Jeddah kembali dilanda banjir kilat: Dua nyawa melayang

Banjir kilat melanda Jeddah selepas hujan lebat turun sepanjang hari pada 24 Nov 2022. (FOTO: Arabian Business)
- Advertisement -

RIYADH: Sekurang-kurangnya dua orang meninggal dunia dalam kejadian banjir kilat pada Khamis (24 Nov) ketika hujan lebat melanda barat Arab Saudi, termasuk Jeddah, menyebabkan sistem penerbangan dan sekolah ditutup.

- Advertisement -

Kerajaan di wilayah Makkah dalam kenyataan melalui Twitter mengesahkan dua kematian telah direkod akibat banjir tersebut dan menyeru penduduk untuk kekal berada di kediaman masing-masing, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).

“Jalan raya yang menghubungkan Jeddah dan Makkah ditutup pada Khamis sebaik hujan lebat mula ,” ujar lapor SPA lagi sambil menambah bahawa jalan raya tersebut kemudian dibuka semula sebaik banjir mula reda.

Saluran televisyen, Al-Ekhbariya menunjukkan rakaman jemaah di Masjidil Haram di Makkah mengelilingi Kaabah ketika hujan lebat melanda.

Dalam pada itu, menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi, hujan di kawasan selatan Jeddah antara jam  8 pagi dan 2 petang Khamis (24 Nov), yang mencapai 179 milimeter, yang tertinggi pernah direkodkan – melebihi jumlah hujan yang dicatatkan pada 2009 apabila berpuluh-puluh penduduk maut dalam banjir kilat, lapor Middle East Eye pula.

Sementara, imej yang disiarkan dalam media sosial pada Khamis menunjukkan puluhan kereta dihanyutkan di sepanjang jalan oleh aliran air yang deras.

Tambah laporan SPA, menjelang Subuh pada Khamis itu, kesemua sekolah di Jeddah ditutup kerana hujan lebat diramalkan melanda secara  berterusan sepanjang hari.

“Sekolah-sekolah juga ditutup di bandar berdekatan iaitu Rabigh dan Khulais sebagai langkah menjaga keselamatan pelajar-pelajar,” tambah laporan SPA.

Sekolah-sekolah yang ditutup di Jeddah sebenarnya berada di tengah-tengah sesi peperiksaan akhir, namun semua sekolah seluruh Saudi telah pun ditutup sejak Rabu (23 Nov), selepas Raja Salman mengisytiharkan cuti berikutan kemenangan mengejut pasukan bola sepak Arab Saudi ke atas Argentina dalam Piala Dunia.

Jeddah merupakan sebuah bandar dengan kira-kira empat juta penduduk yang terletak berhampiran dengan Laut Merah, sering dirujuk sebagai pintu masuk ke Mekah, lokasi di mana berjuta-juta orang dari seluruh dunia menunaikan haji dan umrah pada setiap tahun.

Ribut hujan musim sejuk dan banjir berlaku hampir setiap tahun di Jeddah, yang mana penduduk telah lama mengecam infrastruktur yang buruk. 

Pada 2009, tragedi banjir telah mengorbankan 123 nyawa di Jeddah, sementara pada  Nov 2017, polis Jeddah menerima 11,000 panggilan penduduk pada sebelah pagi berikutan hujan lebat yang melanda bandar itu.

Tahun lalu, kejatuhan suhu di Saudi turut mengakibatkan banjir di banyak bahagian Jeddah, yang mana Saudi menggunakan hashtag #جده_الان (Jeddah sekarang) untuk berkongsi video keadaan cuaca yang melampau, dan hashtag yang sama digunakan dalam kejadian banjir kilat pada Khamis berkenaan. – HARAKAHDAILY 25/11/2022

- Advertisement -