Exco, Adun tumpu pembangunan negeri, lupa perbezaan politik

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dilantik dan wakil rakyat yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar menumpukan kepada pembangunan negeri dan melupakan perbezaan politik.

Advertisement

“Kita perlu beri tumpuan kepada ekonomi agar dapat segera pulih seperti negeri-negeri lain ketika kejatuhan ekonomi dunia,” titah baginda pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis di Istana Arau hari ini.

Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda lagi, setiap anggota Exco kerajaan negeri dan wakil rakyat perlu menjaga nama baik negeri Perlis.

“Rakyat akan sentiasa memerhati, jadi tunjuklah teladan yang baik kepada rakyat, tidak kira masa dan elakkan dari melakukan perkara yang dikeji oleh rakyat seperti rasuah,” titahnya.

Baginda turut menitah agar kerajaan baharu meneruskan projek pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu, demi kebajikan rakyat Perlis.

“Projek mega seperti Jeti Bersepadu Sanglang, Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Pelaburan Darat Perlis (PIP) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) akan membuka peluang pekerjaan yang luas kepada rakyat. Teruskan projek ini jangan berhenti.

“Teruskan kesinambungan seperti yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini, terima kasih kepada kerajaan sebelum ini yang memerintah dengan baik dan serta berilah sokongan kepada kerajaan yang baharu,” titah baginda.

Sebelum itu, enam ADUN terdiri daripada empat ADUN PAS dan dua ADUN Bersatu mengangkat sumpah sebagai anggota Exco kerajaan negeri di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin. – HARAKAHDAILY 25/11/2022