Umno diresapi oleh anasir musuh daripada dalam

- Advertisement -

PENDAHULUAN 

- Advertisement -

Persis membaca novel perisikan KGB yang beroperasi di Amerika. Sasaran mereka adalah memenangkan operatif mereka sebagai Naib Presiden Amerika sendiri. Dengan itu mereka hanya memerlukan satu langkah akhir untuk menguasai Amerika, iaitu peletakan jawatan Presiden Amerika, walau apapun caranya.

Sering kali plot di dalam novel sebegitu amat mendebarkan. Ia dipenuhi dengan janji, habuan, pengkhianatan dan rundingan sulit. 

Namun pada babak akhir novel itu, Naib Presiden itu akan berjaya ‘dineutralkan’ oleh CIA melalui tangkapan atau pembunuhan yang kononnya dilakukan oleh pembunuh upahan daripada Korea Utara, atau seorang fanatik neo-nazi daripada Michigan.

Pendedahan oleh MCA

MCA mendedahkan pembohongan Presiden Umno dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada pihak Istana Negara, kononnya ahli-ahli Parlimen BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM ke-10 berdasarkan bukti surat yang beliau kemukakan kepada pihak Istana.

Ahli-ahli Parlimen BN sebenarnya memutuskan untuk tidak memberi sokongan kepada PH atau PN, mereka akan bergerak sebagai pembangkang sepenuhnya.

Zahid pada awalnya menafikan dakwaan itu. Namun setelah diasak dengan kewujudan surat itu, beliau akhirnya mengaku.

Ini mengundang kepada desakan MCA agar Zahid berundur daripada menjadi Pengerusi BN. Datuk Seri Mohammad Hasan sebagai Timbalan Pengerusi BN patut mengambil alih jawatan itu serta merta.

Zahid adalah orang Anwar di dalam BN

Rupanya Zahid yang dilihat sebagai Presiden Umno yang tegas dengan agenda kuasa politik Melayu, Islam dan kepentingan mengembalikan kegemilangan Umno sebagai parti yang kuat dan bermaruah untuk orang Melayu, adalah sebenarnya seorang yang telah lama direkrut oleh Anwar untuk mengawal Umno daripada dalam. Kod mereka ‘cikgu’ dan ‘anak murid’!

Kerana itulah agenda Anwar sering diangkat supaya kelihatan demi kepentingan Umno dan BN, sehinggalah akhirnya pembohongan demi pembohongan beliau menjadi semakin terdedah. 

Di sebalik kempen BN yang anti PH dan Anwar Ibrahim, tiba-tiba orang nombor satu dalam BN sebenarnya adalah orang Anwar. Ini tentu mengejutkan!

Zahid sebagai ‘ejen’ Anwar 

Misi Zahid untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri melalui kerjasama BN-PH pernah dihidu oleh beberapa orang penganalisis politik melalui satu rakaman perbualan telefon sebelum ini. Tetapi mudah saja ia dibakulsampahkan oleh Zahid. 

Sebagai seorang ‘ejen’, menjayakan misi adalah satu ‘kemestian’. Walaupun BN tewas teruk dalam pilihan raya baru-baru ini, Anwar masih perlu dijadikan Perdana Menteri.

Kali ini Zahid menggunakan kapasiti penuh beliau sebagai Pengerusi BN untuk mengelirukan Istana Negara. Satu misi berbahaya yang hanya beliau dan Anwar sahaja yang boleh mengetahuinya.

Nampaknya berbohong menggunakan nama BN kepada Seri Paduka Baginda YDP Agong pada saat krisis pembentukan Kerajaan Malaysia, adalah operasi terakhir Zahid untuk Anwar! ‘Penyamaran’ beliau telah terbongkar!

Penutup 

Seperti di dalam novel, Zahid sekarang akan bersendirian dan dipinggirkan. Semua pihak yang akan menafikan mempunyai kaitan dengan beliau.

Anwar sebenarnya tidak tahu menahu mengenai setiap langkah Zahid itu. Mustahil Zahid akan mengikut telunjuk beliau.

Walaupun dengan pendedahan mengejutkan oleh MCA itu, Umno masih juga belum mampu melepaskan diri daripada ‘cengkaman kemas’ Zahid setakat ini.

USTAZ ZAKARIA ISMAIL 
Marang, 24 November 2022 – HARAKAHDAILY 24/11/2022

- Advertisement -