UMK terima Akreditasi Antarabangsa Keusahawanan

- Advertisement -

BACHOK: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada majlis Istiadat Pemasyhuran Canselor, Pro-Canselor & Konvokesyen ke-12, di Dewan Tuanku Canselor UMK semalam.

- Advertisement -

Pada majlis sama, adinda baginda Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra juga dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor UMK.

Turut berangkat ke Istiadat Pemasyhuran terbabit Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah dan Raja Perempuan Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid.

Naib Canselor UMK Prof Dato’ Dr Razali Che Razak berkata, seramai 2,211 graduan akan menerima ijazah dalam pengajian bidang masing-masing di mana mereka diraikan dalam lima sidang istiadat konvokesyen bermula 23 hingga 25 November ini.

Katanya, dalam sidang pertama yang berlangsung semalam meraikan seramai 97 graduan yang melibatkan 23 graduan penerima Ijazah Doktor Falsafah, seorang graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) serta 58 graduan Ijazah Sarjana dan 15 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

“Istimewanya juga, UMK meraikan 10 graduan sulung bagi Sarjana Komunikasi Perniagaan (Master of Business Communication) daripada Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau juga berkata, UMK menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang menerima Akreditasi Antarabangsa berkaitan keusahawanan dan diiktiraf sebagai universiti awam keusahawanan pertama oleh Accreditation Council for Entrepreneurial and Engaged University (ACEEU).

Justeru katanya, dengan pencapaian dan pengiktirafan tersebut menunjukkan warga UMK berjiwa besar, berwawasan jauh dan berjaya menjadi peneraju dalam dunia akademia serta keusahawanan dengan acuan yang tersendiri. – HARAKAHDAILY 24/11/2022

- Advertisement -