Sebak, gambar ini menceritakan banyak perkara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Sebak hari ini. Gambar ini menceritakan banyak perkara,” ujar calon PERIKATAN NASIONAL di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim.

- Advertisement -

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau memberitahu ketika arwah Haji Md Yunus Ramli ada, ke sana sini tidak mengira musim pilihan raya umum, mengedarkan bantuan kebajikan.

“Sayalah antara orang yang di belakangnya, memastikan agenda kebajikan untuk warga Tioman.

“Kami turun padang bersama. Bekerja sebagai satu pasukan. Hari ini, saya menggantikan arwah sebagai calon PERIKATAN NASIONAL. Al-Fatihah buat arwah,” katanya.

Dalam hantaran yang lain, beliau menyatakan telah diamanahkan oleh PERIKATAN NASIONAL untuk menjadi calon N.42 Tioman.

Katanya, beliau sentiasa mohon pertolongan daripada Allah supaya permudahkan segala urusan.

“Insya-Allah, saya akan menggalas tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.

“Berikan sokongan anda kepada saya. Beritahu seluruh pengundi di Tioman untuk menyokong saya,” ujarnya lagi.

Beliau adalah calon wanita tunggal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) DUN Tioman yang dicabar oleh calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas)

Hari ini adalah penamaan calon susulan PRU15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Dis ini, dengan 3 Dis ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – HARAKAHDAILY 24/11/2022

- Advertisement -