Ramai mahu taja lembu jamuan rakyat di Tumpat

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS Kelantan akan mengadakan jamuan rakyat di Parlimen Tumpat awal Disember ini dengan menumbangkan 20 ekor lembu susulan kemenangan besar Dato’ Mumtaz Md Nawi.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, calon PAS menang dengan majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tumpat akan diberi lima ekor lembu untuk jamuan berkenaan.

“Sebanyak 20 ekor lembu berkenaan ditaja beberapa pihak bagi menunaikan janji berkenaan. Ramai yang mahu menaja sejurus tahu PAS menang besar.

“Ada menelefon saya nak bagi seekor dan ada yang beri dua ekor lembu. Ada juga sumbang duit dan dicampur semua alhamdulillah cukup 20 ekor,” katanya ketika ditemui media pada sidang DUN Kelantan di Kota Darul Naim hari ini.

Pada PRU15 Sabtu lalu Mumtaz memenangi Parlimen Tumpat dengan majoriti 34,793 undi, menewaskan empat pencabar dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang dan Warisan.

Pada PRU15 tersebut calon PAS mengatasi pencabar iaitu Dato’ Che Abdullah Mat Nawi mewakili BN yang memperoleh 30,633 undi, Che Mohd Asemari Che Ali (Putra – 593 undi), Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan – 245 undi) dan Wan Mohd Johari Wan Omar (PH – 7,762 undi).

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, PAS di semua kawasan di Kelantan akan mengadakan jamuan rakyat selepas berjaya menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen. – HARAKAHDAILY 24/11/2022

- Advertisement -