PRU15: Pertembungan di Parlimen Padang Serai kekal enam penjuru

LIMA daripada enam calon Parlimen Padang Serai (dari kiri), Mohammad Sofee Razak: C. Sivarraajh; Azman Nasrudin; Hamzah Abd. Rahman dan Sreanandha Rao pada proses penamaan calon di Dewan . (FOTO: di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim, Kedah. (FOTO: UTUSAN/SHAHIR NOORDIN)
- Advertisement -

PADANG SERAI, Kedah: Peguam, Dr. Mohammad Sofee Razak diumumkan sebagai calon baharu Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai yang kekal pertembungan enam penjuru.

- Advertisement -

Proses penamaan calon PRU15 bagi kawasan itu berlangsung di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim, Kedah dibuka jam 9 pagi ini sebelum ditutup pada jam 10 pagi, di sini, hari ini, susulan ditangguhkan berikutan kematian calon PH yang telah disahkan bertanding sebelum ini, M. Karupaiya.

Karupaiya sepatutnya menghadapi saingan enam penjuru menentang lima lagi calon iaitu Datuk Azman Nasrudin (PERIKATAN NASIONAL), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk C. Sivaraajh (Barisan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), dan calon Bebas, Sreanandha Rao pada PRU15  yang berlangsung pada 19 Nov lepas.

Keempat-empat calon Azman, Hamzah, Sivaraajh dan Sreanandha turut melakukan cabutan semula undi bersama Mohammad Sofee untuk menentukan susunan nama pada kertas undi – kecuali Mohd. Bakhri yang tidak hadir pada proses hari ini, tetapi penyertaannya tetap diterima memandangkan beliau sudah menjalani proses sama pada 5 Nov lalu.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh 7 Dis 2022 sebagai hari pengundian, manakala 3 Dis sebagai tarikh pengundian awal dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon hingga jam 11.59 malam 6 Dis.

PRU15 Parlimen Padang Serai akan menggunakan 46 pusat mengundi biasa yang mengandungi 230 tempat mengundi (saluran) dan satu pusat mengundi awal yang mempunyai dua tempat mengundi (saluran).

Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Okt akan digunakan untuk pilihan raya itu, yang mengandungi 133,867 orang pemilih yang terdiri daripada 133,776 pengundi biasa, 76 orang polis dan 15 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Pada PRU14, Karupaiya yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR)  memenangi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 8, 813 selepas mengumpul jumah undi keseluruhan 31,724 mengalahkan calon PAS, Muhammad Sobri Osman yang mendapat undi 22,911 dan Barisan Nasional (BN), Dato’ Dr Leong Yong Kong (15,449 undi). – HARAKAHDAILY 24/11/2022

- Advertisement -