Prestasi ekonomi Kelantan catat pertumbuhan positif

KOTA BHARU: Prestasi ekonomi Kelantan mencatat pertumbuhan positif dan lebih baik pada tahun 2021 berdasarkan nilai dan kadar pertumbuhan KDNK.

Advertisement

KDNK Kelantan pada tahun 2021 ialah RM25.8 bilion meningkat 2.4 peratus berbanding negatif 1.2 peratus pada tahun 2020 pada nilai RM25.2 bilion.

Sektor perkhidmatan kekal menjadi penyumbang terbesar iaitu RM17.8 bilion (68.91 peratus) diikuti sektor pertanian RM5.9 bilion (23.1 peratus),
pembuatan RM1.3 bilion (4.5 peratus), pembinaan RM401 juta (1.6 peratus) dan Sektor Perlombongan dan Pengkuarian RM359 juta (1.4 peratus).

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, KDNK Kelantan dijangka terus mengukuh dan berkembang secara positif selari dengan unjuran perkembangan ekonomi negara.

“Tumpuan sentiasa diberi untuk meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran dan kewangan, mentransformasikan pengurusan pungutan hasil, perbelanjaan berhemah dan melaksanakan pembangunan mampan demi kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri yakin dapat mencapai objektif Pelan Strategik Kelantan Melangkah Ke Hadapan: Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan 2016-2025 dalam tempohnya,” kata beliau ketika membentang Belanjawan Kelantan 2023 bertema Kelantan Maju Rakyat Sejahtera pada sidang Dun hari ini.

Belanjawan Kelantan 2023 memperuntuk sejumlah RM1.62 bilion bagi membangunkan ekonomi negeri secara inklusif meliputi segenap lapisan rakyat yang menjurus kepada enam teras.

Teras tersebut iaitu kewangan teguh, lestari, cakna rakyat, kebajikan, memakmurkan ekonomi, galakan pelancongan dan pembangunan modal insan.

Ahmad juga berkata, kerajaan negeri yakin enam teras tersebut akan menjadikan Belanjawan Kelantan 2023 lebih realistik, peka persekitaran ekonomi semasa, mewujudkan lebih banyak inisiatif kepada rakyat dan melindungi kebajikan golongan yang terkesan.

“Jumlah Belanjawan 2023 menunjukkan peningkatan sebanyak RM112.53 juta atau 7.45 peratus berbanding Belanjawan 2022 yang memperuntukkan RM1.51 bilion,” ujarnya.

Belanjawan itu meliputi perbelanjaan mengurus RM1.15 bilion dan RM474.61 juta diperuntuk untuk pembangunan. – HARAKAHDAILY 24/11/2022