PN gesa Anwar buktikan keabsahan sokongan

- Advertisement -

TUJUAN saya memanggil sidang media ini adalah untuk menjelaskan beberapa fakta berkaitan dengan proses pelantikan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum yang ke-15.

- Advertisement -

Sepertimana yang saudara dan saudari sedia maklum, saya telah pun dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi PERIKATAN NASIONAL dalam pilihan raya yang barupun selesai berlangsung.

Alhamdulillah berkat sokongan rakyat dan izin Allah S.W.T PERIKATAN NASIONAL telah memenangi 73 kerusi iaitu 43 kerusi telah dimenangi oleh parti PAS dan 30 kerusi oleh parti BERSATU. 

Pada 20 November 2022 iaitu sehari selepas pilihan raya diadakan, Yang Dipertua Dewan Rakyat telah menulis surat kepada Presiden-presiden parti mengundang mereka untuk mengemukakan cadangan pembentukan kerajaan gabungan dan menamakan seorang Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Cadangan ini mesti dikemukakan menerusi surat pada Istana Negara dengan menamakan Ahli-ahli Parlimen yang menyokong pembentukan kerajaan gabungan dan menamakan calon Perdana Menteri yang disokong oleh Ahli-ahli Parlimen tersebut. 

Pada hari yang sama Yang Dipertua Dewan Rakyat menulis satu lagi surat kepada Presiden-presiden parti meminta supaya cadangan pembentukan kerajaan gabungan tersebut mestilah disertai dengan Surat Akuan Bersumpah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-10. 

Tarikh akhir penyerahan semua dokumen ini ke Istana Negara menerusi e-mel dan aplikasi WhatsApp ialah pada 21 November 2022. 

Susulan itu PERIKATAN NASIONAL telah menghantar surat daripada Setiausaha Agung PAS, Pengerusi GPS, Pengerusi GRS dan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia KDM yang menyatakan persetujuan untuk membentuk kerajaan gabungan bersama PERIKATAN NASIONAL. 

Turut dihantar ke Istana Negara ialah 114 Surat Akuan Ahli-ahli Parlimen yang menyatakan kepercayaan tanpa syarat kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. 

73 Ahli Dewan Rakyat PERIKATAN NASIONAL termasuk pecahan Ahli-ahli Parlimen tersebut adalah seperti berikut. 

73 Ahli Dewan Rakyat PERIKATAN NASIONAL, termasuk 22 yang bertanding menggunakan logo PAS di Kelantan dan Terengganu.

• 22 Ahli Dewan Rakyat GPS.

• 6 Ahli Dewan Rakyat GRS.

• 1 Ahli Dewan Rakyat KDM.

• 10 Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional.

• Dan dua Ahli Dewan Rakyat bebas.

Semua dokumen ini telah dihantar ke Istana Negara pada jam 1:28 petang pada 21 November 2022 iaitu sebelum masa akhir yang ditentukan untuk parti-parti  menghantar dokumen berkaitan ke Istana Negara seperti yang dikehendaki oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Setiausaha Sulit Kanan kepada ke bawah duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengeluarkan surat kepada Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL pada hari yang sama mengesahkan penerimaan surat-surat akuan ini. 

Saya percaya pada masa itu saya telah mempunyai kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10. 

Namun lebih kurang jam 1:30 petang hari yang sama, pihak Istana Negara mengumumkan perlanjutan tempoh untuk Presiden-presiden parti mengemukakan Surat-surat Akuan Bersumpah untuk proses pelantikan Perdana Menteri sehingga jam 2:00 petang 22 November 2022. 

Pada jam 10:30 pagi, 22 November 2022, Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL menghantar lagi Surat Akuan Bersumpah, Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri menjadikan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong saya adalah seramai 115 iaitu melebihi majoriti mudah 112 orang untuk membolehkan saya dilantik sebagai Perdana Menteri.

Hari ini Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mempunyai sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat akan dilantik sebagai Perdana Menteri. 

Demi keyakinan rakyat akan keabsahan Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah sewajarnya beliau membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Ini hendaklah dibuktikan melalui proses yang telah ditetapkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam surat bertarikh 20 November 2022 iaitu dengan mengemukakan Surat-surat Akuan Berkanun, majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat. 

Itu adalah kenyataan yang telah pun saya bacakan, yang telah pun dipersetujukan oleh Majlis Tertinggi PERIKATAN NASIONAL sebentar tadi.

Di hadapan saya ini ialah sekali lagi saya buktikan segala Surat-surat Akuan Bersumpah yang telah pun diserahkan surat penerimaan daripada pihak Istana Negara menerusi Setiausaha Sulit Yang Dipertuan Agong iaitu Datuk Kapten Nazim bin Mohd Alim mengesahkan penerimaan dokumen-dokumen yang saya sebutkan tadi.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Pengerusi Perikatan Nasional

SESI SOAL JAWAB

Wartawan: Apa tindakan selanjutnya Tan Sri…. ?

TSMY: Ya tadi dalam kenyataan saya, saya telah meminta supaya Datuk Seri Anwar membuktikan keabsahan dia dengan dokumen-dokumen Akuan Bersumpah yang mengatakan dia mendapat sejumlah sokongan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat. So kita nak tunggulah.

Tan Sri, Kenyataan PN bersedia untuk mempertimbangkan Kerajaan Perpaduan?

Pertamanya kenyataan yang kita buat ini tak ada hubung kait dengan soal pembentukan apa Kerajaan Perpaduan, pasal kita respond pada kenyataan Istana Negara tentang keputusan untuk melantik Datuk Seri Anwar. Jadi tak ada disebutkan di sini soal itu, yang itu yang telah pun kita umumkan itu keputusan kita jugalah. Ya tapi saya tak nak kaitkan itu dengan apa yang telah pun diumumkan oleh Istana Negara tadi.

Tan Sri, adakah Tan Sri akan  menggesa supaya Sidang Dewan Rakyat dilakukan dengan segera selepas ini?

Itu bukan soal saya. Ikut peraturan dan sebagainyalah. Terserah pada pihak Setiausaha Dewan Rakyat untuk memutuskan.

Tan Sri, Dato Sri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ataupun tidak?

Saya cuma berpegang pada kenyataan daripada Istana Negara. Yang dalam Istana Negara itu saya baca berkali-kali, dia tak dikaitkan dengan soal pembentukan Kerajaan Perpaduan. Dia kata melantik Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.

Tan Sri mengenai 10 SD yang difahamkan ditarik itu adakan BN memaklumkan selepas ditarik daripada PERIKATAN NASIONAL?

Yang itu kemudian itu kami tak tahu. Saya cuma rujuk pada tarikh 21 hari bulan, sebelum dateline pukul 2:00 petang, kita masuk 1:28 petang iaitu ikut kehendak daripada Speaker Dewan Rakyat. Dan di waktu kita bentangkan itu dan diabsah, diterima oleh apa Istana Negara pada hari yang sama, saya telah dapat membuktikan saya mempunyai sejumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat menyokong saya 114 dan selepas itu ditambah lagi satu kerana Baram. Bila mana SPR mengumumkan keputusan kita menang kita tambah satu lagi. Jadi akhirnya jumlahnya 115.

Tan Sri, sekiranya Datuk Seri Anwar tidak mengemukakan SD beliau ada majoriti, apakah PN akan kemukakan sebarang undi tidak percaya di Parlimen?

Tak apa dulu. Kita nak tengok itu dulu. Biar bagi dia peluanglah. Kalau dia boleh buktikan, itu satu perkara ataupun pasal disebutkan di sini mesti dibuktikan dengan adanya Akuan Bersumpah. Kenapa dibuat begitu? Kerana kami dalam PERIKATAN NASIONAL mengikut arahan daripada Speaker Ahli-ahli Parlimen yang nak beri sokongan mestilah disokong dengan SD, bukan surat daripada langit ke mana-mana ke ataupun parti-parti kata kita sokong tak boleh pakai itu. Kata kalau ikut pandangan sayalah. Mesti ada dengan SD. Kalau hari itu saya hantar, saya kata ada 115 menyokong saya dan kata nama-nama saja tapi orang yang berkenaan tak menghantar surat sokongan. Mungkin Istana Negara boleh tolak. Pasal itu arahan daripada Speaker yang diberikan tanggungjawab menguruskan soal pemilihan ini, bukan? Jadi kami dah menyatakan tadi, kalau Datuk Seri Anwar kata dia punya bilangan cukup, yang menyebabkan Agong mengumumkan dia akan mengangkat sumpah sebentar lagi. Kami nak tahulah dulu. Bukan kami saja. Di seluruh Malaysia rakyat yang menunggu-nunggu ni nak tahu betul ke tidak? Apa buktinya. Saya fikir penting supaya nak mengelakkan keraguan atau menimbulkan keresahan, ketidakpuasan hati. Ini semua pun media pun nak tahu kan. So lebih lagi rakyat di luar sana yang dah lama menunggu tergantung untuk berapa hari nak juga tahu. Jadi supaya kita agak boleh boleh tahulah sama ada kenyataan itu berpandu kepada Perlembagaan ataupun sebaliknya.

(Sidang media khas PN sebagai reaksi keputusan pelantikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10) – HARAKAHDAILY 24/11/2022

- Advertisement -