Kredibiliti undi PRU15 jangan dikelirukan petisyen kabur

- Advertisement -

DALAM kemelut kerajaan tergantung 5 hari ini, berbagai andaian timbul dan media memain peranan menyampaikan berita perjalanan pembentukan Kerajaan Malaysia. Tidak kurang juga media yang kelihatannya berat sebelah dan menimbulkan persepsi pelbagai.

- Advertisement -

Semenjak pengumuman keputusan PRU-15 pada malam 19 November lalu, media telahpun mewawancara parti gabungan tertinggi PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Pakatan Harapan (PH). 

Jelas dalam wawancara itu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih berkeyakinan dengan kemenangan 73 kerusi dan sokongan dari parti utama Sabah dan Sarawak. Beliau turut menyatakan akan berunding lagi dengan Bebas. 

Manakala Pengerusi PH, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula terlihat gugup dengan kemenangan gabungan PH 82 kerusi. 

Susulan dari itu, muncul pula konflik dalaman Barisan Nasional (BN) yang memenangi 30 kerusi di mana sebahagiannya telah menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Manakala surat Pengerusi BN, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menyatakan 30 MP BN menyokong Dato’ Seri Anwar sebagai Perdana Menteri.

Konflik BN ini bagaimanapun telah menyebabkan MP BN keseluruhannya menarik semua sokongan terhadap mana-mana parti gabungan sama ada PN mahupun PH.

Walaupun demikian, PN masih mempunyai sokongan melebihi gabungan PH walaupun kedua-duanya tidak mendapat ‘simple majority’ seperti yang telah ditetapkan Perlembagaan sebagai syarat untuk membentuk kerajaan.

Kepimpinan PN, ahli serta penyokongnya kekal tenang di bawah seruan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang agar kekal tenang kerana PN masih mendahului.

Namun, terlalu banyak propaganda lawan yang menimbulkan provokasi jahat dan menyeleweng serta menimbulkan persepsi buruk terhadap PN. Juga timbul pula petisyen yang kononnya rakyat Sarawak tidak menyokong PN.

Sokongan Sabah dan Sarawak telah lama diperoleh sebelum pilihan raya lagi kerana keyakinan rantau Borneo itu terhadap PN yang telah terbukti mampu mentadbir dan memulihkan ekonomi Malaysia di ketika pandemik dahulu.

Keyakinan itu juga disumbang dari keupayaan sangat baik PN dalam mentadbir negeri-negeri di mana tidak terhasil oleh negeri PH. Inilah yang membawa sokongan daripada Sabah dan Sarawak untuk menyokong gabungan PN. 

Maka tidak perlu segala provokasi dan petisyen kelabu yang menyeleweng serta tidak menghormati majoriti pengundi yang telah mengundi pada PRU-15.

Kekal tenang menunggu keputusan mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu pada hari ini. 

QATRUNNADA MOHD LATFI – HARAKAHDAILY 24/11/2022

- Advertisement -