Kerjasama negeri, Pusat ubah wajah Kelantan

- Advertisement -

KETIKA Pembentangan Bajet 2022 bekas Menteri Kewangan Senator Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyebut Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-12 bagi tahun 2021 Kelantan diluluskan peruntukan sebanyak RM1.86 bilion untuk pembiayaan 119 projek pembangunan baharu dan melibatkan sebanyak 221 projek sambungan.

- Advertisement -

Manakala pada tahun 2022 Kelantan diluluskan peruntukan sebanyak RM3.53 bilion bagi projek pembanguan infrastruktur dan RM159 juta lagi khusus untuk pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh yang akan mula dibina Januari tahun 2023. Kompleks sukan terbabit akan dibina di kawasan seluas 66.4 hektar merangkumi stadium tertutup, padang hoki, tenis dan padang sintetik.

Ia sebagai persediaan Kelantan sebagai tuan rumah Sukma 2026. Kerajaan negeri menyambut baik hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membina prasarana sukan di negeri itu.

Selain itu, lapan projek Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bernilai RM1.36 bilion diluluskan bagi menyokong projek pembangunan air di Kelantan. Sebelum itu, pada 5 Julai 2020, Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menerima kunjungan hormat Menteri Alam Sekitar dan Air Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man bersama delegasinya di Mabna MBI. 

Susulan itu mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan menaiktaraf infrastruktur perkhidmatan air di Kelantan seperti penambahbaikan loji rawatan air, penggantian paip air bagi mengurangkan kehilangan air serta projek meningkatkan perkhidmatan pembentungan akan dilaksanakan di Kelantan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, hambatan IR 4.0 dan jurang pembangunan digital di Pantai Timur dan Kelantan tidak terkecuali turut mendapatkan perhatian kerajaan Pusat dengan memperuntukkan sebanyak RM700 juta dan kemudiannya ditambah kepada RM1 billion bagi menggiatkan pembangunan infrastruktur telekomunikasi dan digital melalui Program Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Melalui program tersebut sebanyak 77 pencawang telekomunikasi baru akan dibina di seluruh Kelantan serta sebanyak 934 pencawang telekomunikasi akan dinaiktaraf daripada rangkaian 3G kepada 4G.

Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) berperanan dan bertanggungjawab merancang, mengurus, melaksana, mengkoordinasi serta memantau pelan hala tuju dan pembangunan sektor tersebut.

Manakala, pembangunan wilayah atau bandar baru banyak muncul di Kelantan termasuk Pasir Puteh Central, Bandar Baru Jelawat, Bandar Bentara Tumpat, Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Sungai Bagan Machang.

Selain itu Taman Konservasi di Mukim Sigar, Pondok Moden Antarabangsa di Pulai Chondong dan banyak lagi akan merancak merancakkan pembangunan di Kelantan. Kerajaan Pusat menyalur peruntukan melalui Kementerian Luar Bandar sebanyak RM2.683 bilion untuk Kelantan bagi tahun 2022 berbanding RM300.4 juta ringgit pada tahun sebelumnya.

Jumlah peruntukan besar itu bukan lagi retorik, bahkan sebahagiannya sedang rancak  dijalankan malahan ada yang telah siap sepenuhnya.   

Justeru itu, rangkaian perhubungan darat yang lebih cepat, selesa dan selamat melalui projek Central Spine Road (CSR) yang dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2025 dijangka akan melebarkan 1001 peluang ekonomi untuk Kelantan.

Pintu masuk melalui udara juga sedang rancak dibangunkan. Projek pembesaran dan menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa dengan kos RM440 juta dijangka akan siap pada pertengahan tahun 2024 mampu menampung 4 juta penumpang setahun.

Pembinaan landasan ECRL sepanjang 43.68 kilometer di Kelantan sedang rancak berjalan melalui projek laluan rel pantai timur dengan 2 stesen utama di Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Transformasi Tok Bali kepada bandar maritim dan Full Fledge Port di tapak seluas 250 ekar  menerima pelaburan sebanyak RM329 juta. Peluang yang terhidang tersebut bukan hanya menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, malah secara tidak langsung menambah keyakinan kepada pelabur domestik dan antarabangsa.

Kejayaan itu dapat dilihat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kelantan bagi tempoh 5 tahun iaitu 2016-2020 telah mencatatkan pertumbuhan 3.3 peratus mengatasi kadar pertumbuhan negara iaitu 2.7 peratus.

Terbaharu, Projek Empangan Nenggiri di Gua Musang yang bernilai RM5 bilion memulakan kerja awal pembinaan pada 1 Mac 2022, dijangka menjana bekalan elektrik pada pertengahan 2027, bakal meningkatkan kapasiti elektrik Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia.

Projek terbabit berperanan sebagai penggerak utama peralihan industri tenaga negara dan mengukuhkan usaha memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk negara. Empangan Nenggiri bakal menjana 300 megawatt (MW)  diluluskan pelaksanaannya secara dasar oleh Kerajaan Persekutuan pada 2012 dan diluluskan kerajaan Kelantan pada Mac 2014.

Projek pemangkin ekonomi hiliran dan setempat yang berdaya maju antaranya Laman Warisan di Kampung Laut, Tumpat di bawah East Coast Economic Region Development Council (ECERD) dengan tawaran produk pelancongan, budaya dan Industri Kecil (IKS).

Di situ terdapat Masjid Kampung Laut yang berusia 300 tahun. Apabila siapnya nanti jambatan ikonik Palekbang – Kota Bharu akan dapat menyuraikan masalah kesesakan trafik di Jambatan Sultan Yahya Petra dan pusat bandar Kota Bharu, di samping menjadi laluan alternatif yang menghubungkan Tumpat dan Kota Bharu.

Jambatan tersebut akan meningkatkan kesalinghubungan penduduk setempat serta memudahkan pergerakan rakyat dan perdagangan rentas sempadan apabila siap kelak.

Walaupun begitu, ECERD turut optimis dapat mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM1.8 bilion  di Kelantan pada tahun 2022 dengan anggaran 1200 tawaran pekerjaan baharu dan lebih 300 peluang keusahawanan.

Prospek eko pelancongan dan agropolitan di Tanah Tinggi Lojing yang dijenamakan sebagai Lojing Higlands turut diyakini mampu menyaingi Cameron Highlands. Lokasi itu juga diwartakan sebagai Taman Konservasi Rafflesia dengan keluasan sebanyak 1,000 hektar.

Polisi kerajaan negeri  mewujudkan peluang pekerjaan dan industri hiliran berasaskan sumber asli  disambut baik dengan pengisytiharan Tasik Danau Tok Uban Pasir Mas sebagai zon industri akualkultur (ZIA) dengan kerjasama kerajaan Persekutuan. Cadangan awal pembangunan tasik tersebut akan dilengkapi fasiliti sesuai dengan zon industri akuakultur.

Selain itu, turut diintegrasikan dengan projek ladang solar terapung terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 40 hektar, boleh mengurangkan 131,400 tan metrik karbon dioksida setiap tahun. Pelepasan karbon boleh memberi kesan negatif terhadap masyarakat di mana berlaku perubahan iklim dan cuaca di luar jangkaan.

Kelantan juga dikurniakan  khazanah alam yang subur dengan kepelbagaian sumber menawarkan peluang kepada sektor pertanian sekaligus mencapai gagasan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara.

Komitmen dan iltizam Kelantan dalam membangun negeri mengikut acuan Membangun Bersama Islam dizahirkan  dengan Projek Jangka Panjang Pembangunan Madinah Ramadhan As-Salam, sebuah bandar tersusun dan terancang berkonsepkan Islamic Smart City di mukim Tiong.

Masinah As- Salam merupakan salah satu kompenan utama dalam Pelan Strategik Kelantan Melangkah Ke Hadapan – Keberkatan, Kemakmuran Dan Kebajikan 2016-2025 yang merupakan  perancangan teras kerajaan negeri untuk memacu Kelantan ke arah lebih progresif, dinamik dengan kekuatan peluang dan sumber yang merangkumi aspek sosial serta ekonomi. – HARAKAHDAILY 24/11/2022

- Advertisement -