Enam staf pasar raya Walmart maut ditembak pengurus

Tiga daripada enam mangsa (dari kiri), Lorenzo Gamble, Kellie Pyle dan Randy Blevins yang terbunuh dalam serangan maut di pasar raya Walmart di Chesapeake, Virginia, Amerika Syarikat pada 23 Nov 2022. (FOTO: CNN)
- Advertisement -

CHESAPEAKE, Virginia: Sekurang-kurangnya enam staf di sebuah kedai di Walmart Inc. WMT.N yang berada di bilik rehat pasar raya berkenaan maut apabila diserang dengan tembakan secara rambang oleh pengurus mereka,

- Advertisement -

Jurucakap polis, Leo Kosinki berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai insiden itu pada Rabu (23 Nov) kira-kira jam 10 malam waktu tempatan; dan ketika tiba di lokasi kejadian, mereka menemui sejumlah mangsa yang meninggal dunia, lapor CNN.

Kosinki turut memberitahu, suspek dikenali sebagai Andre Bing, 31, telah bekerja di pasar raya itu sejak tahun 2010 turut maut selepas menembak dirinya sendiri selepas melakukan serangan itu.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada Brian Pendleton, 38; Kellie Pyle, 52; Lorenzo Gamble, 43; dan Randy Blevins, 70, – kesemuanya dari Chesapeake manakala Tyneka Johnson, 22, dari Portsmouth dan seorang lagi ialah remaja berusia 16 tahun.

Menurut seorang pegawai polis, punca kejadian masih disiasat dan polis tidak mengesan suspek lain yang terbabit dalam insiden tembakan berprofil tinggi kedua yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh empat hari.

Seorang pekerja yang terselamat dalam serangan itu, Briana Tyler telah menggambarkan insiden itu sangat mengerikan apabila pengurus stor terbabit masuk ke dalam bilik rehat kakitangan dan mula menembak.

“Dia tidak menyasarkan sesiapa. Dia hanya tembak secara rambang di dalam bilik rehat itu dan saya nampak beberapa orang jatuh di atas lantai, sama ada mereka cuba mengelak atau sudah terkena tembakan.

“Penembak itu memandang saya dan melepaskan tembakan tetapi saya bernasib baik tembakannya tersasar. Ketika menyerang, dia sekadar tanpa bersuara,” jelas Tyler.

Serangan itu berlaku dua hari sebelum musim cuti rakyat di Amerika Syarikat, dan kurang seminggu daripada serangan di kelab gay di Colorado yang menyebabkan lima orang terbunuh.

Namun begitu, tidak kurang 10 hari yang lalu, tiga orang pelajar di Universiti Virginia terbunuh pada 13 Nov akibat diserang seorang rakan sekelas mereka yang tiba-tiba melepaskan tembakan selepas pulang dari lawatan.

Sementara itu, Presiden, Joe Biden dalam ciapan di Twitter berkata, beliau dan isteri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai di tempat awam terbaharu di AS itu. – HARAKAHDAILY 24/11/2022

- Advertisement -