Campur tangan politik ganggu peruntukan bekalan air

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kos untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan meningkat daripada RM2 bilion enam tahun lalu kepada RM5 bilion sekarang.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, peruntukan itu diberi melalui perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Kelantan.

Namun katanya, harapan itu tidak kesampaian susulan dana tersebut tidak diberi atas sebab teknikal serta campur tangan politik sempit pada ketika itu.

“Selepas tandatangani (tahun 2016), dana RM2 bilion tidak turun ke Kelantan, ada isu teknikal, sekarang 2022 anggaran kos sudah meningkat untuk selesai masalah bekalan air.

“Jadi sebab itu kita kena perbetulkan politik terutama kawan-kawan kita berada dalam Barisan Nasional (BN), kena perbetulkan supaya boleh selesai,” katanya menjawab soalan Dato’ Mohd Adhan Kechik (Umno-Bukit Bunga) pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini hari ini.

Kelantan menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air pada 14 September 2016 bagi membolehkan kerajaan Persekutuan membantu Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dari segi kewangan untuk mewujudkan industri perkhidmatan air lebih mapan di Kelantan.

Mohd Amar turut menafikan kegagalan kerajaan negeri mengurus masalah bekalan air bersih serta projek tebatan banjir di pinggir Sungai Kelantan.

Kata beliau kerajaan negeri tidak menganggap masalah tersebut gagal, bahkan sentiasa berusaha untuk menyelesaikan dengan kemampuan dimiliki.

“Ini bukan kegagalan tetapi ia merupakan masalah yang terpaksa kita hadapi dan kita sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Kalau kerajaan Pusat mengambil sikap terbuka dan mengetahui tanggungjawab bersama untuk membangunkan negeri saya percaya banyak masalah dapat selesaikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2022

- Advertisement -