150 masih hilang: 170 gempa susulan, hujan lebat halang kerja menyelamat

Masa kini semakin suntuk untuk menyelamatkan mangsa yang mungkin terselamat di bawah runtuhan konkrit akibat gempa bumi 5.6 magnitud yang melanda Cianjur, Indonesia pada 21 Nov lalu. (FOTO: Iloveborneo.my)
- Advertisement -

CIANJUR: Sebanyak 170 gegaran susulan, hujan lebat dan bahaya tanah runtuh mengganggu kerja penyelamat Indonesia mencari mangsa yang terselamat dalam gempa bumi yang telah mengorbankan 271 nyawa, dengan 150 orang masih hilang.

- Advertisement -

Amaran rasmi bahawa masa semakin suntuk untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan akibat gempa bumi berukuran 5.6 magnitud pada Isnin (21 Nov) lalu, menyebabkan kerosakan besar di bandar Cianjur, di kawasan pergunungan kira-kira 75 kilometer ke selatan ibu negara, Jakarta, lapor Reuters.

Usaha menyelamat pada Rabu yang melaporkan kira-kira 170 gegaran susulan termasuk 3.9 magnitud itu diganggu hujan lebat yang melanda di Cugenang, salah satu daerah yang paling teruk dilanda gempa bumi, lokasi  di mana sekurang-kurangnya sebuah kampung dipercayai tertimbus di bawah tanah runtuh.

Ketua agensi mencari dan menyelamat, Henri Alfiandi berkata, helikopter sepatutnya menurunkan bekalan makanan dan air ke dua kampung yang tidak dapat dihubungi melalui jalan raya. 

Seorang penduduk tempatan berdiri berhampiran rumah runtuh berikutan gempa bumi di Cianjur, wilayah Jawa Barat, Indonesia pada 23 Nov 2022. (FOTO: Reuters/Tommy Ardiansyah)

“Peluang menemui mangsa hidup yang terperangkap dalam runtuhan tiga hari selepas gempa bumi semakin tipis tetapi bahaya gegaran susulan yang mencetuskan lebih banyak tanah runtuh di cerun yang dibasahi hujan telah melambatkan pasukan penyelamat.

“Oleh kerana gempa itu agak kuat dan hujan, kami khuatir akan berlaku tanah runtuh. Tetapi kami telah meneruskan proses pemindahan sekarang,” ujar Henri kepada Reuters.

Seorang mangsa, Ai Nurjanah, 48, berkata, dia terperangkap di bawah runtuhan konkrit selama kira-kira 15 minit selepas gempa itu, sambil melindungi anak perempuannya berusia 4 tahun di bawahnya, yang mana mereka sedang tidur ketika gempa bumi itu melanda.

“Saya terus menjerit meminta tolong sehingga kehabisan suara. Anak perempuan saya menangis,” kepada Reuters sementara menunggu untuk dirawat di hospital kerana kecederaan yang dialaminya di hospital.

Kanak-kanak berusia 5 tahun, Azka Balita berjaya diselamatkan selepas tiga hari terperangkap di bawah runtuhan konkrit di Cianjur, Indonesia. (FOTO: Herald.id)

Pihak berkuasa Indonesia ketika ini sedang berusaha untuk membawa masuk lebih banyak jentera berat untuk membersihkan tanah runtuh. Kira-kira 6,000 penyelamat telah dihantar, kata agensi mitigasi bencana itu.

Ketika pencarian diteruskan, penyelamat berjaya mengeluarkan seorang budak lelaki berusia 5 tahun dikenali sebagai Azka Balita dari runtuhan konkrit, selepas tiga hari terperangkap, namun terselamat kerana dilindungi oleh tilam.

Dalam video menyelamat yang disiarkan oleh bomba tempatan, Azka, yang terperangkap selama dua hari, kelihatan sedar dan tenang ketika dia diangkat ke keselamatan.

“(Azka) kini baik-baik saja, tidak cedera. Doktor kata dia hanya lemah kerana dia lapar,” kata saudaranya Salman Alfarisi, 22, sambil memegang tangan Azka di khemah sementara di tempat letak kereta hospital, sambil menambah ibunya telah meninggal dunia.

“Dia nak balik rumah sekarang. Tadi dia minta (bertemu) mak dia masa tidur,” tambah Salman.

Menurut laporan Reuters lagi, di sebuah hospital Cianjur, pesakit dirawat di luar khemah kerana bimbang akan gegaran susulan.

Sementara, Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin berkata terdapat keperluan mendesak untuk bantuan tambahan untuk pesakit di hospital yang turut mengalami kerosakan akibat gempa bumi berkenaan. – HARAKAHDAILY 24/11/2022

- Advertisement -