4 lagi bandar baharu dirancang tempoh lima tahun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan merancang mewujudkan empat lagi bandar baharu bagi memenuhi keperluan penduduk dan peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sekarang dalam proses permulaan kerja-kerja awal untuk melaksanakan projek perimpak tinggi tersebut.

Katanya, bandar baharu terbabit iaitu Madinah Salam, Tunjung; Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS), Machang; Bandar Dato’ Bentara, Gua Musang dan Taman Industri Tok Bali.

“Ini merupakan kejayaan dan kemajuan khususnya dalam aspek pembangunan wilayah yang dicapai kerajaan negeri dalam tempoh 2018 sehingga 2022.

“Selain itu dalam tempoh ini banyak kejayaan yang merangkumi aspek kewangan, pembangunan ekonomi, pendidikan dan beberapa aspek lain,” katanya menjawab soalan Hilmi Abdullah (PAS-Guchil) pada sidang Dun hari ini.

Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri berjaya meningkat prestasi perbendaharaan menerusi kaedah pelaksanaan dan penjimatan.

Selain itu kata beliau kerajaan negeri juga berjaya mengekalkan status perbelanjaan negeri ‘surplus’ sejak tahun 2018.

“Kita berjaya mengukuhkan prestasi kewangan dengan peningkatan kutipan hasil dan mengukuhkan perbelanjaan secara berhemat.

“Selain itu mengekalkan belanjawan secara lebihan (surplus) bermula 2018 dan insyaAllah tahun ini pun jangkaan kita akan perolehi bajet lebihan,” katanya.

Dalam bidang pendidikan kata beliau antara yang dibanggakan kejayaan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra mendapat pengiktirafan sebagai Kolej Universiti. – HARAKAHDAILY 24/11/2022

- Advertisement -