Segenap pelosok Arab Saudi rai kemenangan atasi Argentina

Salem Al-Dawsari meraikan gol kedua Arab Saudi menumpaskan Argentina
- Advertisement -

Arab Saudi menjadi pasukan sensasi Piala Dunia dengan kemenangan 2-1 ke atas Argentina yang diketuai Lionel Messi, sekali gus mencetuskan kebanggaan Arab di kejohanan bola sepak terbesar dunia yang buat kali pertama diadakan di Asia Barat.

- Advertisement -

Raja Salman mengisytiharkan hari kelepasan am di Arab Saudi pada hari ini bagi meraikan pencapaian itu, manakala Putera Mahkota Mohammed bin Salman, walaupun tidak kelihatan pada perlawanan itu, tetapi hadir ketika upacara pembukaan kejohanan itu, Ahad lalu.

Seorang ahli keluarga Raja Salman, Putera Saud, menyiarkan gambar di Instagram yang menunjukkan Putera Mahkota sujud syukur dalam bilik, manakala Menteri Tenaga, Putera Abdulaziz memegang bendera negara dan berdiri di sebelah Putera Mahkota yang tersenyum. .

Kemenangan Arab Saudi juga merupakan detik manis bagi tuan rumah, Qatar, yang berdepan kritikan hebat terhadap hak asasi manusia di negara Islam itu. Emir Qatar menyarungkan bendera Saudi di bahunya pada perlawanan itu. Sebuah bangunan pencakar langit Doha turut memancarkan “Tahniah Hijau.”

“Wah! Saya mempunyai semua perasaan sekarang. Kami mengalahkan Argentina, antara pasukan yang hebat!” kata Saad dari Riyadh yang berada di Qatar selama dua minggu dan memakai selendang hijau Helang Saudi.

“Pemain kami bermain dengan sangat baik – semuanya berjalan lancar di stadium hari ini. Ia menakjubkan.”

Dalam cubaan kali kelima dan terakhirnya untuk satu-satunya piala utama yang belum dimikinya, Messi, 35, menjaringkan penalti minit ke-10 dalam aksi dominan Argentina pada separuh masa pertama dengan satu jaringan Messi dan dua Lautaro Martinez tidak dibenarkan kerana offsaid.

Namun Arab Saudi, pasukan ranking kedua terbawah dalam kejohanan ini selepas Ghana, bermain berhati-hati pada awal separuh masa kedua, menyerang Argentina di hadapan 88,012 penonton yang memberi sokongan padu untuk menamatkan rentak 36 perlawanan tanpa kalah pasukan Amerika Selatan itu.

“Alhamdulillah, pemain berjaya melakukannya dan kami mengatasi mereka. Mereka bergantung kepada seorang pemain, kami pula bersaing sebagai satu pasukan. Berhati-hati dengan Arab Saudi kerana apabila ia menyerang, ia menyakitkan ,” kata peminat negara itu, Abdelaziz al-Khwatem.

Sebuah stesen televisyen Arab Saudi menunjukkan barisan kereta yang panjang dengan wanita bertudung berdiri di atas bumbung terbuka sambil mengibarkan bendera Arab Saudi. Kanak-kanak pula meraikan kemenangan dengan menunjukkan tanda kemenangan.

Peminat negara Arab lain turut teruja, termasuk rakyat Tunisia yang pasukan negara itu seri 0-0 menentang Denmark.

“Saya sangat berbangga,” kata Hoda Salmi, yang menetap di Qatar, sambil peminat Tunisia lain bertepuk tangan.

“Ia adalah kegembiraan melihat kemenangan Arab Saudi,” kata rakan senegara Yusra Khalil di zon peminat bersama suami dan dua anak perempuannya. “Hakikat Piala Dunia di Qatar dan kami orang Arab – ia memberi kami banyak tenaga dan keterujaan.”

Keseluruhan permainan berlangsung dalam suasana luar biasa di Stadium Lusail, dengan kehebatan Argentina ditenggelami ribuan warga Saudi yang datang menceriakan pasukan mereka.

“Kami menjangka Arab Saudi adalah pasukan yang mudah dan pemain Argentina akan menjaringkan lima gol menentang mereka. Namun, Arab Saudi menggunakan strategi tidak membenarkan kami menguasai bola sama sekali. Mereka menjaringkan gol dan itu sahaja,” kata peminat Argentina, Juliana Vega, 21. – HARAKAHDAILY 23/11/2022

- Advertisement -