Renard berikan sentuhan ajaib kepada Arab Saudi

- Advertisement -

Ketika peminat Arab Saudi bergembira meraikan kemenangan menakjubkan pasukan mereka terhadap gergasi bola sepak dunia, Argentina dalam pertandingan Piala Dunia, jurulatih Perancis, Herve Renard, dengan pantas dijulang sebagai wira negara itu.

- Advertisement -

Arab Saudi sebelum ini tidak pernah memenangi perlawanan pertama di Piala Dunia, malah mengalami kekalahan memalukan tumpas 0-8- kepada Jerman pada 2002 dan tewas 0-5 kepada Rusia pada 2018.

Dalam perlawanan semalam, Arab Saudi ketinggalan kepada penalti awal Lionel Messi tetapi diilhamkan oleh kata-kata bersemangat Renard ketika waktu rehat membangkit semangat pemain negara itu untuk memastikan kemenangan terkenal 2-1 ke atas juara dunia dua kali itu.

Renard, 54, mula mencipta nama sebagai jurulatih pada 2012 apabila mengemudi Zambia menjulang kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika buat kali pertama.

Dia berpindah untuk menguruskan Ivory Coast dan sekali lagi membawa negara itu muncul juara pada 2015 melalui kemenangan penentuan dramatik ke atas Ghana sebelum membawa Maghribi ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.

Selepas tewas kepada Iran dan Portugal pada 2018, Maghribi mempamerkan aksi hebat untuk seri 2-2 dengan Sepanyol.

“Apabila saya memutuskan untuk melatih pasukan ini (Arab Saudi) tiga tahun lalu, saya mendapat semua sokongan. Kami mempunyai Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) yang hebat dan juga Kementerian Sukan,” kata Renard selepas kemenangan ke atas Argentina.

“Apabila kami bertemu dengan Putera (Mohammed bin Salman, Putera Mahkota), beliau tidak memberi tekanan kepada kami dan ini sangat mengagumkan. Memberi tekanan tidak berkesan untuk semua keadaan.”

Renard bukan sahaja jurulatih teknikal yang bagus, malah juga seorang pakar motivasi yang hebat.

“Kami mempunyai jurulatih gila yang memberi arahan dan memotivasikan kami dengan berkesan ketika rehat,” kata pemain tengah Arab Saudi, Abdel-Ilah al-Maliki kepada stesen TV Al-Kass selepas kemenangan ke atas Argentina.

“Saya bersumpah kepada Tuhan bahawa saya menangis dan jurulatih memberi motivasi kepada kami dan kami tidak sabar untuk memulakan perlawanan sejak pagi… saya tidak dapat menggambarkan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Renard meminta penyokong Arab Saudi terus memberikan sokongan bagi baki perlawanan Kumpulan C menentang Poland dan Mexico.

“Argentina adalah juara Copa America dan tidak pernah tewas dalam 36 perlawanan terakhir, tetapi anda tahu apa yang berlaku apabila pasukan kecil bermain kerana kami adalah jiran Qatar,” kata Renard.

“Ini menyumbang kepada kehadiran sebilangan besar penyokong kami di stadium. Kami terpaksa memikirkannya tentang 35 juta rakyat Saudi yang menunggu perlawanan ini.

Renard juga memberitahu kepentingan perlawanan pertama kepada pasukannya.

“Saya beritahu pemain bahawa kehidupan akan berhenti di Arab Saudi hari ini, dan semua orang akan menunggu perlawanan ini. Bilangan peminat memang ramai, tetapi saya harap ia akan menjadi lebih ramai lagi,” katanya.

Penyokong pasukan Arab Saudi amat mengagumkan dan kini meraikan hari ini yang diisytiharkan sebagai cuti kebangsaan di Arab Saudi.

“Kemenangan bersejarah, kekalahan pertama Argentina selepas 36 perlawanan. Kami akan kembali beramai-ramai,” kata Saleh Al-Hamid, yang mengembara dari Riyadh ke Lusail melalui jalan darat. – HARAKAHDAILY 23/11/2022

- Advertisement -