Pemimpin BN-PN bertemu petang ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi, petang ini pemimpin utama Umno mengadakan pertemuan pula dengan pemimpin PERIKATAN NASIONAL (PN).

- Advertisement -

Pertemuan itu, menurut laporan media diadakan di Hotel St Regis yang dihadiri pemimpin PN iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Dr Radzi Jidin, Datuk Dr Dominic Lau, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Manakala pemimpin BN pula ialah Dato’ Seri Mohamad Hasan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Datuk Seri M Saravanan.

Semalam Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN untuk menghadap baginda pagi tadi. Bagaimanapun menurut laporan, pemimpin BN yang hadir iaitu Pengerusi BN Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad dan Setiausaha Agung, Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir.

Sebelum itu, mesyuarat Dewan Tertinggi BN dilapor memutuskan untuk memohon kepada Istana Negara supaya menangguhkan pertemuan baginda dengan 30 Ahli Parlimen BN, pagi tadi.

Petang semalam Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut mengadap baginda.

Pertemuan antara pemimpin utama PN dan BN dianggap pertama selepas berlangsung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas.

Pada Isnin pemimpin BN mengadakan pertemuan dengan pemimpin PH di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Semalam pemimpin PN dan BN Pahang turut mengadakan pertemuan bagi mengadakan perbincangan bagi membentuk kerajaan negeri selepas tiada parti mendapat majoriti mudah.

Di Pahang PN menguasai 17 kerusi Dun, BN (16) dan PH (8). – HARAKAHDAILY 23/11/2022

- Advertisement -