MB baharu Perlis lebih suka tinggal di rumah sendiri

Mohd Shukri Ramli (kiri) memasuki pejabat Menteri Besar Perlis
- Advertisement -

KANGAR: Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli, memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perlis di Pejabat Menteri Besar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Persiaran Wawasan di sini, pagi tadi.

- Advertisement -

Beliau tiba di pejabat Menteri Besar dan mengimbas jari pada alat pengimbas jari jam 8.54 pagi sebagai simbolik memulakan tugasnya secara rasmi.

Ketibaannya disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Seri Hasnol Zam Zam Ahmad serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Shukri mengakui sudah lama tidak masuk ke pejabat kerajaan secara rasmi selepas bersara sebagai guru.

“Dua penggal dah tak masuk pejabat, dunia baru, dahulu masuk pejabat sebagai guru.

“Saya tak pernah lagi masuk pejabat dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Bagaimanapun, insyaAllah kita akan menyesuaikan diri,” katanya kepada wartawan, hari ini.

Mohd Shukri yang juga Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis berkata, beliau akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri mengenai keperluan untuk berpindah ke kediaman rasmi Menteri Besar di sini.

“Kita akan fikir dulu, kalau boleh saya mahu tinggal di rumah sendiri, kemungkinan rumah itu akan digunakan kadang-kadang sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), katanya secara dasar sudah ada senarai nama Adun berkenaan dan mereka akan dilantik pada Jumaat ini.

“Secara dasarnya, nama sudah ada. Cuma ada sedikit lagi mungkin berlaku perubahan. Senarai nama pun sudah dihantar dan kita sedang tunggu persetujuan PN pusat,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -