Kerajaan PN Perlis akan beri khidmat terbaik kepada rakyat

Mohd Shukri Ramli
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Perlis akan memberi khidmat layanan sama rata kepada seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik.

- Advertisement -

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan akan cuba memberi khidmat terbaik sebagai menghargai rakyat yang mengundi gabungan itu.

“Semua rakyat akan dilayan sama rata, tidak kira sama ada dalam pilihan raya mereka memilih PN atau tidak,” katanya pada sidang media pertama di pejabat Menteri Besar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Persiaran Wawasan di sini selepas majlis angkat sumpah, semalam.

Menurut Mohd Shukri lagi, beliau bercadang akan meneruskan projek pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan negeri sebelum ini jika memberi manfaat kepada rakyat.

Ujarnya, beliau akan bermesyuarat bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan ketua-ketua jabatan selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis pada Jumaat ini bagi membincangkan lebih lanjut mengenai pentadbiran negeri.

“Mesyuarat ini adalah bagi meneliti secara keseluruhan apa yang perlu diutamakan dan boleh dilaksanakan di negeri ini jika memerlukan apa-apa perubahan seperti yang dinasihatkan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pelantikan Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Mohd Shukri menjelaskan, komposisi lantikan terdiri daripada tujuh ADUN PAS (termasuk jawatan Menteri Besar) dan tiga daripada Bersatu.

Menurutnya lagi, portfolio lantikan juga akan dikekalkan seperti yang telah dijalankan oleh kerajaaan sebelum ini.

“Kita akan terus mengekalkan portfolio yang sama seperti kerajaan terdahulu untuk barisan Exco ini.

“Barisan Exco akan diisi oleh muka-muka baharu memandangkan hanya saya dan ADUN Guar Sanji sahaja orang lama, mereka (ADUN baharu) pastinya mampu memberikan idea baru dan lebih segar,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan sebelum ini dan tidak malu untuk mengambil pandangan mereka.

“Mereka sudah ada pengalaman yang boleh dikongsi bagi memastikan segala perancangan dan projek kerajaan sebelum ini dapat diteruskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/11/2022

- Advertisement -