‘Gulai’ PERIKATAN NASIONAL jadi tarikan rakyat di Melaka

Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail (kanan)
- Advertisement -

TANGGA BATU: Kejayaan PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) di Melaka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu kerana rakyat memilih pemimpin yang mampu membawa politik bersih, stabil dan prihatin.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail, berkata kejayaan yang dicapai di negeri ini dan juga seluruh negara adalah fenomena rakyat yang sudah lama menunggu aspirasi politik yang dibawa oleh PN.

Katanya, ini yang menyebabkan slogan PN yang mahu membentuk kerajaan yang bersih, stabil dan prihatin lebih dekat di hati rakyat.

“Rakyat memberi sokongan kepada PAS dan PN kerana mereka dapat melihat bukti sedapnya gulai yang PAS sediakan. Mereka juga melihat imej bersih dalam pentadbiran dan urus tadbir negeri yang diperintah PAS serta kerajaan PN ketika di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Ustaz Zulkifli memenangi Parlimen Jasin dengan menewaskan Dato’ Roslan Ahmad (Barisan Nasional), Harun Mohamad (Pakatan Harapan) dan Mohd Daud Nasir (Gerakan Tanah Air) dengan majoriti 322 undi.

Sementara itu Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, menang di Parlimen Tangga Batu, menewaskan Rusnah Aluai (PH), Datuk Lim Ban Hong (BN), Ghazali Abu (GTA), dan Shahril Mahmood (Bebas) dengan majoriti 8,849 undi.

PN juga menang di Parlimen Masjid Tanah melalui Dato’ Mas Ermieyati Samsuddin dengan majoriti 4,411 undi mengalahkan Abdul Hakim Abdul Wahid (BN), Hanfrawirawan Abu Bakar (GTA) dan Mutalib Uthman (PH).

Ustaz Zulkifli juga menyifatkan kemenangan tiga kerusi Parlimen di Melaka hasil usaha pejuang Islam terdahulu.

“Kita umpama menyediakan makanan yang perlu diproses terlebih dahulu sebelum masak. Usaha memasak dimulakan pemimpin terdahulu.

“Sampai satu peringkat, akhir sekali boleh makan. Tapi kita kena masak dululah, kena potong sayur, potong bawang. Generasi awal PAS yang potong sayur, potong bawang. Jadi kebetulan, kami sampai pada satu waktu di mana nak hidang. Kemuncak (masakan) dah siap, rasanya sedap,” katanya.

Ustaz Zulkifli menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di Parlimen Jasin yang mengundi PN.

Parlimen Jasin sebelum ini disandang oleh Dato’ Seri Ahmad Hamzah dari BN. – HARAKAHDAILY 23/11/2022

- Advertisement -