Saham judi, arak jatuh berikutan kemenangan PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Saham Genting Malaysia Bhd jatuh menjunam sebanyak 11 peratus berbanding tempoh dua tahun ini, manakala syarikat induknya Genting Bhd susut 10 peratus, demikian lapor Bloomberg.

- Advertisement -

Sementara saham syarikat pembekal peralatan judi loteri, Sport Toto Bhd pula mencecah paras terendah sejak 1993, selain syarikat arak iaitu Heineken Malaysia Bhd dan Carlsberg Brewery Malaysia Bhd juga turut merosot.

Kejatuhan tersebut dilihat penganalisis berikutan keputusan PRU15 yang menyaksikan prestasi cemerlang PAS mengungguli jumlah kerusi tertinggi dan mengejutkan jangkaan serta ramalan pelbagai pihak.

Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berpandangan, PAS sebagai parti terbesar menang dilihat akan mengawal dasar sedia ada dan mempengaruhi penggubalan dasar baharu.

“Kerajaan pimpinan Islam biasanya akan cuba menjadikan demokrasi yang berfungsi sebelum ini kepada menjadi tidak liberal,” tambah beliau.

Penganalisis RHB Bank, Alexander Chia pula dalam ulasannya menyifatkan prestasi kukuh itu satu kejutan yang dijangka akan meningkatkan pengawalseliaan sektor judi, arak dan tembakau dengan lebih tinggi.

Bloomberg dalam laporannya itu menyatakan hal tersebut menguntungkan para pengundi PAS, namun menjejaskan keyakinan pelabur di sektor tersebut, setelah parti Islam ini juga mempunyai rekod mahu memartabatkan syariah.

Para penganalisis juga menurut laporan tersebut, menjangka akan lebih banyak penelitian dibuat ke atas industri dosa sebagaimana pendirian sentiasa ditunjukkan PAS terhadap penganjuran berkaitan arak dan judi.

Indeks KLCI (FBMKLCI) lapor Bloomberg, jatuh sebanyak 1.5 peratus di tengah-tengah kemerosotan yang lebih meluas sedang berlaku di rantau ini, manakala Ringgit lebih rendah 0.2 peratus berbanding Dolar. – HARAKAHDAILY 22/11/2022

- Advertisement -