PINTAR gesa 26 MP Umno sokong TSMY bentuk kerajaan

- Advertisement -

PERTUBUHAN Intelektual Negara (PINTAR) menjunjung tinggi kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

- Advertisement -

Melihat kepada perkembangan semasa mengenai pelantikan Perdana Menteri ini, ianya tidak wajar dilengahkan oleh mana-mana Ahli Dewan Rakyat khususnya melalui parti-parti yang telah dipilih di dalam PRU15 yang lalu.

Mengambil sikap berkecuali dalam keadaan sekarang adalah suatu perkara yang perlu untuk dinilai semula kerana kita tidak mahu negara terumbang-ambing tanpa dapat dilantik seorang Perdana Menteri yang akan menjalankan tugas-tugas eksekutif dalam mentadbir negara.

Mandat rakyat telah diperolehi, di mana sebelum PRU15 diadakan, kita sering mendengar agar soal politik negara dikembalikan kepada rakyat. Sekarang, mandat tersebut telah jelas berdasarkan keputusan PRU15 yang telah diperolehi.

Oleh kerana pembentukan kerajaan pada kali ini memerlukan kerjasama dan sokongan parti-parti yang menang dalam PRU15 disebabkan tiada yang mendapat majoriti mudah, maka adalah lebih munasabah kerjasama parti-parti politik dalam kerajaan sebelum PRU yang lalu untuk duduk bersama berbincang membentuk kerajaan pasca PRU15 ini.

Di atas sebab ini, PINTAR ingin menggesa parti-parti politik dan Ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya 26 orang dari Umno untuk memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ini disebabkan oleh mandat terbesar rakyat Malaysia adalah ingin melihat kerajaan yang stabil yang memperjuangkan hak-hak kelompok majoriti Melayu-Islam dan dalam masa yang sama turut mengangkat hak-hak kaum lain di dalam negara.

Melalui keputusan PRU15 yang ada, pilihan terbaik buat Umno dan BN adalah untuk memberi sokongan kepada PN untuk bersama-sama membentuk kerajaan. Sanjungilah kesediaan parti-parti Sabah Sarawak melalui GPS dan GRS yang telah pun memberikan sokongan kepada TSMY untuk membentuk kerajaan secara bersama.

Oleh itu, sangat wajar bagi 26 orang Ahli-ahli Dewan Rakyat Umno bahkan 30 orang (sekiranya diambil jumlah seluruh MP BN) untuk menyatakan sokongan padu kepada TSMY. Memilih untuk bersikap berkecuali sebenarnya adalah bukan pilihan buat masa ini. Rakyat dan negara memerlukan kerajaan dibentuk segera untuk melicinkan pentadbiran dan urusan yang perlu dilakukan.

Kita tidak mahu melihat pemimpin-pemimpin parti Melayu terus bertindak sepi, merajuk, tidak mahu bekerjasama dan sebagainya. Cukuplah dengan apa yang berlaku selepas PRU14 lalu yang telah menyebabkan rakyat bangkit untuk mempertahankan hak mereka yang cuba dirobek ketika mana terdapatnya pemimpin yang bercakaran.

Kami turut merasakan sekiranya para pemimpin ini masih mengambil sikap berkecuali, maka kebimbangan yang dinyatakan oleh Tun Abdul Hamid Mohamad dalam kenyataannya pada 22 November 2022 akan menjadi kenyataan di mana pemimpin-pemimpin Umno dilihat tidak lagi mempedulikan kepentingan orang Melayu sebaliknya hanya memikirkan kepentingan politik sempit sendiri. Sedangkan, dengan menjaga kepentingan orang-orang Melayu inilah merupakan kunci kepada kestabilan negara sejak merdeka.

PINTAR juga menggesa Ahli-ahli Parlimen Umno konsisten dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno untuk menolak DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mengambil sikap berkecuali di waktu kritikal begini adalah memberi muka kepada kedua-duanya selain merupakan satu sikap tidak bertanggungjawab kepada negara.

Oleh yang demikian, sekali lagi PINTAR ingin menggesa agar 26 Ahli-ahli Dewan Rakyat Umno untuk memberikan sokongan padu kepada kepada TSMY sebagai Perdana Menteri ke-10 dan turut sama dengan PN untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat.

Sekian, terima kasih.

PROFESOR DR. MOHD ROSLAN MOHD NOR
Presiden,
Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) – HARAKAHDAILY 22/11/2022

- Advertisement -