Pesawat terhempas rempuh rumah, 8 maut

Pasukan menyelamat memeriksa keadaan rumah yang dirempuh pesawat kecil
- Advertisement -

MEDELLIN: Sebuah pesawat kecil yang membawa lapan orang terhempas ke kawasan perumahan di bandar kedua terbesar di Colombia, mengorbankan semua penumpang.

- Advertisement -

Pihak berkuasa penerbangan Colombia menyatakan bahawa pesawat itu berlepas dari lapangan terbang Olaya Herrera pada pagi Isnin dan melaporkan kegagalan enjin sebelum merempuh sebuah rumah, menyebabkan kepulan asap hitam tebal ke udara.

Akaun Twitter lapangan terbang itu melaporkan bahawa lapan orang dalam pesawat itu, enam penumpang dan dua anak kapal, maut.

“Terdapat kemalangan pesawat di sektor Belen Rosales. Berikutan itu, kerajaan mengaktifkan pasukan bantuan ke tempat kejadian dan membantu mangsa,” kata Datuk Bandar, Daniel Quintero di Twitter.

Beliau berkata, pesawat enjin berkembar Piper dalam perjalanan dari Medellin ke perbandaran Pizarro di daerah jiran, El Choco.

Pesawat itu memberi isyarat kegagalan enjin ketika berlepas dan tidak berjaya kembali ke lapangan terbang Olaya Herrera.

Pesawat itu merempuh sebuah rumah, memusnahkan tingkat atasnya, menurut imej yang dikongsi oleh perkhidmatan kecemasan. Anggota bomba pula berusaha memadamkan api di rumah itu yang jubin berselerak dan dinding bata yang runtuh.

“Terdapat tujuh rumah terjejas teruk dan terdapat kerosakan pada enam bangunan,” kata Quintero. “Nasib baik, pada masa itu, tiada seorang pun di rumah yang paling teruk dilanggar.”

“Doña Astrid terselamat kerana dia baru sahaja pergi,” kata datuk bandar mengenai seorang penghuni rumah yang pesawat itu terhempas.

Medellin terletak di lembah sempit, dikelilingi oleh pergunungan Andes.

Pada 2016, sebuah pesawat yang membawa pasukan bola sepak Chapecoense Brazil kehabisan minyak dan terhempas di pergunungan berhampiran bandar itu, mengorbankan 71 daripada 77 orang di dalamnya, termasuk 16 pemain. – HARAKAHDAILY 22/11/2022

- Advertisement -