Pakej umrah, haji Andalusia-BSN sasar RM100 juta

Ida Riswana (dua dari kanan) dan Mujibburrahman (dua dari kiri) serta Md Daud (kanan) dan Norainah dalam dalam majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara BSN dan Andalusia di Hotel Perdana, Kuala Lumpur pada 22 Nov 2022. (FOTO: HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bermatlamat menggalakkan golongan muda di negara ini membuat perancangan awal menunaikan ibadah umrah atau haji,  Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) berkolabarasi menawarkan pakej pembiayaan peribadi, yang disasarkan mencecah RM100 juta dalam tempoh setahun.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, dalam tempoh tersebut, pakej patuh syariah itu menyasarkan sebanyak 1,500 pemohon pakej pembiayaan peribadi berkenaan, khususnya dalam kalangan golongan muda yang berpendapatan tetap, terutama kakitangan kerajaan.

“Golongan ini mempunyai keupayaan untuk membayar secara ansuran bulanan secara berstruktur dan mempunyai niat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah, selain ingin mengikuti pakej ziarah di bawah kendalian Andalusia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara  BSN dan Andalusia yang diwakili Pengarah dan Penasihat Undang-undangnya, Ida Riswana Idris; dan Pengarah Eksekutifnya, Dato’ Md Daud Che Ngah, di Hotel Perdana, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamed Al-Bakri dan Ketua Perbankan Runcit BSN, Norainah Mohmad  Zakuan.

Diskaun RM200

Menjelaskan lebih lanjut, Mujibburrahman berkata, pemohon pakej pembiayaan berkenaan boleh membuat permohonan di bawah skim Islamik BSN MyRinggit-i dengan minimum RM10,000 hingga RM200,000 dalam tempoh minimum dua hingga 10 tahun.

“Pembiayaan yang ditawarkan adalah untuk bayaran pakej ibadah umrah atau haji berserta duit perbelanjaan sewaktu menunaikan ibadah berkenaan.

“Sempena dengan pelancaran pakej terbaharu ini, pelanggan berpeluang untuk menikmati kadar menarik serendah 2.52 peratus tertakluk pada terma dan syarat, khusus untuk yang membuat permohonan sebelum 31 Dis 2022,” jelas beliau.

Menjelaskan pakej pembiayaan peribadi berkenaan bagi pihak Andalusia, Ida Riswana pula berkata, permohonan untuk pakej pembiayaan peribadi berkenaan boleh dilakukan pelanggan selepas menandatangani pakej umrah atau haji dengan Andalusia.

“Sekiranya dapat kelulusan pihak bank (BSN), bank akan disperse kepada Andalusia untuk pembayaran umrah atau haji pelanggan, yang mana jemaah boleh pergi menunaikan ibadah berkenaan terlebih dahulu.

“Pada waktu itu mereka sudah mengetahui berapakah nilai bayaran bulanan yang perlu dibayar dan pembayaran boleh dibuat selepas mereka pulang daripada menunaikan ibadah, mengikut kontrak perjanjian dengan bank,” jelasnya.

Beliau juga mengumumkan bahawa bersempena pelancaran  MOU antara BSN dan Andalusia pada hari ini, kesemua jemaah yang mendaftar bagi menunaikan umrah sebelum 31 Dis 2022  dengan Andalusia akan menerima diskaun sebanyak RM200 seorang sekiranya mereka membuat permohonan untuk pembiayaan dan mendapat kelulusan pembiayaan melalui BSN.

Bayaran serendah RM151 sebulan

Ida Riswana dalam pada itu berkata, beliau melahirkan kesyukuran bahawa selepas dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19, dengan izin Allah, Andalusia kini bangkit semula dengan tawaran baharu bagi merelisasikan impian umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah umrah atau haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

“Kami berpegang kepada prinsip sekeluarga mampu menunaikan umrah; dan buat pertama kali dalam sejarah, Andalusia berkolaborasi dengan bank tempatan yang agak besar, BSN dalam penawaran pakej pembiayaan bagi tujuan ibadah haji, umrah dan ziarah di bawah konsep murabahah tawarruq dengan bayaran bulanan serendah RM151 sahaja selama 36 bulan,” jelas beliau.

Pakej pembiayaan ini, ujar beliau, membolehkan pelanggan yang layak di bawah syarak iaitu di bawah hukum istita’ah untuk pergi menunaikan umrah atau haji dengan cara pembayaran ansuran ataupun pembayaran tertangguh

“Lebih meyakinkan lagi, semua pembiayaan pakej ini akan dilindungi oleh Skim Takaful PruBSN bagi jaminan pelunasan penuh pembiayaan pakej umrah itu nanti,” katanya.

Menurutnya lagi, dianggarkan pada ketika ini hanya kira-kira 270,000 orang (atau 1.18 peratus) daripada umat Islam di Malaysia berpeluang menunaikan ibadah umrah setiap tahun. 

“Bagi ibadah haji pula, peratus yang boleh menunaikan ibadah berkenaan sangat terbatas pada ketika ini disebabkan kuota haji oleh kerajaan Arab Saudi dan dikawal di bawah kelolaan  Lembaga Tabung Haji.

“Peluang untuk menunaikan haji sangat sukar dan perlu mengikut giliran yang telah ditetapkan. Apa yang menyedihkan adalah ramai umat Islam di Malaysia yang tidak pernah  menunaikan ibadah umrah atau haji walaupun di akhir hayat mereka, mereka berjaya mengumpul wang secukupnya,” ujarnya. 

Perancang kewangan dalam usia muda

Oleh demikian, kata Ida Riswana lagi,  didorong oleh niat untuk membuka peluang bagi seramai mungkin umat Islam menjejakkan kaki di Baitullah – sekurang-kurangnya sekali seumur hidup –  maka Andalusia berpendapat bahawa skim pembiayaan pakej pembiayaan peribadi Andalusia-BSN ini adalah tepat pada masanya. 

“Banyak manfaat terutama bagi golongan berpendapatan tetap kerana skim pembiayaan  Andalusia-BSN ini adalah satu bentuk perancangan kewangan yang boleh mendisiplinkan  umat Islam dalam merancang waktu pelaksanaan umrah dan haji masing-masing dalam usia muda.

“Ia adalah satu kelebihan kerana pertamanya, dengan peredaran masa dan evolusi pembangunan visi 2030 Arab Saudi yang sedang berlaku di negara itu, harga pakej umrah dan haji kian meningkat mahal dari tahun ke tahun, ditambah dengan peningkatan kadar matawang asing, harga tiket penerbangan, hotel dan lain-lain kos – yang semuanya adalah di luar kawalan kita. 

“Jika 10 tahun lalu, harga pakej umrah ekonomi adalah serendah RM4,990 seorang, namun  sekarang ini, harga pakej umrah ekonomi paling murah mencecah  RM6,990, meningkat RM2,000 dalam masa 10 tahun.

“Justeru, kami yakin inisiatif pakej pembiayaan peribadi Andalusia-BSN ini menggalakkan khususnya golongan anak muda yang baru memulakan kerjaya untuk menabung secara ansuran dari awal lagi dalam matlamat mereka untuk menunaikan ibadah umrah atau haji,” jelas beliau.

Tiada beban hutang

Kelebihan kedua pakej pembiayaan peribadi berkenaaan menurut Ida Riswana lagi, ibadah umrah dan khususnya haji menuntut jemaah agar sihat dari segi fizikal dan mental.

“Ini kerana umrah memerlukan jemaah berjalan kaki sekurang-kurangnya 5.6 kilometer (km) untuk menunaikan tawaf tujuh kali dan saei tujuh kali pusingan.

“Sementara bagi ibadah haji pula, selain perlu tawaf dan saei, ditambah dengan jemaah perlu  kena berjalan kaki sekuang-kurangnya 7km satu hari – selama tiga hari untuk melaksanakan  ibadah melontar di jamrah. 

“Seandainya disebabkan masalah kewangan, maka umat Islam terpaksa menunda kepergian ke Tanah Suci sehingga tiba waktu bersara kerana terpaksa mendahulukan tuntutan kehidupan keluarga, maka pada  waktu sudah bersedia dengan simpanan sendiri yang cukup ketika itu, mereka sebaliknya berdepan dengan kesihatan tubuh badan yang kian merosot,” ujarnya.

Justeru bagi mengimbangi keadaan tersebut, Ida Riswana berpendapat bahawa setiap umat Islam harus merebut peluang dan kesempatan yang ada sebaik munfkin ketika  masih hidup  dan sihat.

“Sakit dan ajal boleh berlaku pada bila-bila masa, maka rebutlah peluang untuk menunaikan ibadah umrah dan haju sekali seumur hidup melalui perancangan kewangan yang lebih awal dan teratur,” jelasnya.

Tambah beliau, kelebihan ketiga pakej pembiayaan peribadi berkenaaan adalah ia tidak mendatangkan beban hutang buat ahli keluarga peminjam.

“Ini kerana melalui kerja sama Andalusia dan BSN, pemohon yang mendapat kelulusan  pakej pembiayaan ini adalah mereka yang mempunyai punca pendapatan yang tetap dan terancang, yang sekiranya berlaku kematian sebelum pemohon melangsaikan kesemua jumlah pinjamannya, PruBSN Takaful akan mengambil alih hutang tersebut bagi memastikan ia tidak tertunggak kepada pewaris.

“Justeru, bagi memudahkan kolaborasi Andalusia dan BSN ini, orang ramai termasuk jemaah Andalusia yang telah mendaftar pakej 1444H boleh mula memohon pakej pembiayaan dengan pembayaran ansuran mudah berkenaan melalui platform  https://www.umrahandalusia2023.com,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2022

- Advertisement -