Hasrat Mursyidul Am lihat PAS perintah Perlis jadi kenyataan

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin (kiri) bersama Mohd Shukri Ramli
- Advertisement -

ARAU: Penantian PAS untuk memerintah Perlis menjadi kenyataan selepas bersama gabungan PERIKATAN NASIONAL (PN) berjaya memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

- Advertisement -

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, berkata kejayaan menawan ketiga-tiga kerusi Parlimen dan hampir semua kerusi DUN di Perlis adalah di luar jangkaan.

“Kita sendiri pun bincang dengan PN, tak jangka boleh capai kemenangan 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis sebab ini kali 15 kita masuk pilihan raya.

“Dulu kita menang di DUN Sanglang, majoriti 53 undi, itu habis tenaga. Mana nak jangka kali ini menang majoriti hampir 4,000 undi.

“Tahun 1960, saya bersama PAS dan sejak waktu itu, saya nak lihat Perlis diperintah PAS. Alhamdulillah. Maka dalam Islam tak susah untuk dapat jawapan kerana pegangan dalam ajaran Islam, sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan bagi jalan keluar,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Perlis yang juga Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Hashim berkata, PAS juga tidak menjangka akan menang di kawasan DUN Mata Ayer, Kuala Perlis dan Pauh kerana kerusi-kerusi tersebut tidak pernah dimenangi sebelum ini.

“Negeri yang kita (PAS) perintah bersih daripada rasuah kerana kita menyampaikan ajaran Islam, seperti yang dimulakan oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Jawatan Menteri Besar bukan suatu kebanggaan kerana jawatan ini adalah satu tanggungjawab dan amanah dengan Allah. Bila disemai macam itu, bersihlah 30 tahun memerintah,” katanya.

Beliau berkata, PAS tidak seperti pemimpin tertentu yang lebih memberi keutamaan untuk kepentingan diri dan bukan rakyat. – HARAKAHDAILY 22/11/2022

- Advertisement -