England menang besar, tapi mahu lebih fokus

Bukayo Saka menjaringkan dua gol untuk England
- Advertisement -

Jurulatih England, Gareth Southgate memuji pemainnya kerana semangat menyerang ketika membelasah Iran 6-2 pada perlawanan pertama kempen Piala Dunia, tetapi memberi amaran bahawa mereka perlu meningkatkan tahap pertahanan apabila menentang Amerika Syarikat dalam perlawanan berikut.

- Advertisement -

“Kami sangat gembira memulakan kejohanan dengan cara ini dan sangat gembira dengan permainan menyerang. Kami tahu bahawa Iran biasanya adalah lawan yang pintu golnya sangat sukar ditembusi,” katanya pada sidang akhbar.

Dua gol Bukayo Saka serta gol separuh masa pertama Jude Bellingham dan Raheem Sterling serta dua gol pemain gantian, Marcus Rashford dan Jack Grealish, memberikan kemenangan besar ke atas Iran yang hanya bolos lapan kali dalam kelayakan ke Qatar.

Dua gol Iran pula, termasuk penalti dijaringkan oleh Mehdi Taremi pada 30 minit terakhir tidak mampu mengubah arus perlawanan, tetapi Southgate kecewa dengan kegagalan pasukannya mengekalkan rekod bersih.

“Saya tidak menyukai penghujung permainan. Melepaskan dua gol seperti yang kami lakukan bukan tahap yang kami perlukan. Kami perlu lebih baik berbanding hari ini dalam aspek tertentu perlawanan menentang Amerika Syarikat kerana mereka akan datang sebagai lawan yang lebih kuat,” katanya.

Walaupun mengakui kesukaran pemainnya mengekalkan fokus dalam permainan yang mempunyai 26 minit masa kecederaan, Southgate berkata England akan bergelut untuk mara dalam kejohanan ini jika mengekalkan rentak perlawanan seperti menentang Iran.

“Ini suatu permulaan yang baik untuk kami, ia adalah platform yang baik untuk dibina tetapi… ada perkara yang perlu kami perbaiki jika mahu mara ke peringkat seterusnya,” katanya.

Southgate berkata, pertahanan Harry Maguire dikeluarkan selepas berasa sakit semasa perlawanan tetapi tiada kebimbangan kecederaan lain. – HARAKAHDAILY 22/11/2022

- Advertisement -