Ya, tunggu sahaja, sudah cukup jumlah – Presiden PAS

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) telah mengumpulkan akuan bersumpah daripada lebih 112 Ahli Dewan Rakyat sebagai sokongan untuk membentuk kerajaan Persekutuan, kata Timbalan Pengerusi PN Tan Sri Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

“Ya tunggu sahaja. Sudah cukup jumlah, melebihi daripada cukup, insya-Allah,” kata Presiden PAS itu.

“Tunggu undangan (ke Istana Negara), pada bila-bila masa sahaja,” katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan kediaman Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pada kira-kira 2 petang di sini hari ini. Beliau tiba pada kira-kira 11 pagi.

Terdahulu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan PN telah mengemukakan akuan bersumpah daripada Ahli Dewan Rakyat, yang memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Hamzah berkata jumlah surat akuan yang dihantar melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata PN akan mengemukakan akuan bersumpah daripada Ahli Parlimen hari ini, bagi membuktikan bahawa gabungan itu mempunyai jumlah yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

PN terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah AirKu (STAR) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Sementara itu, Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan proses bagi ketua parti-parti dan gabungan politik mengemukakan gabungan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi bentuk kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri dilanjutkan sehingga 2 petang esok.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik untuk memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti, dan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang, hari ini.

PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

PRU15 pada 19 Nov menyaksikan gabungan parti antaranya Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30). – BERNAMA

- Advertisement -