Tidak mahu jumpa, PN Perak jawab Saarani

Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad bahawa PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak mahu berjumpa dengannya dan tidak bersetuju untuk memberi apa-apa peranan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan Kerajaan Negeri Perak merupakan satu penipuan besar.

Advertisement

“Hakikat sebenarnya ialah saya telah bertemu dengan beliau pada hari Ahad, 20 November 2022 di Kuala Lumpur.

“Pada perjumpaan yang turut dihadiri oleh Dato’ Zainol Fadzi Paharudin, kami telah berunding tentang kemungkinan kerjasama PN dan BN menubuhkan kerajaan di negeri Perak,” ujar Pengerusi PERIKATAN NASIONAL negeri, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, dalam perjumpaan yang sama, Saarani juga turut menyatakan hasrat untuk kekal dicadangkan sebagai Menteri Besar Perak dan perkara itu adalah sesuatu yang amat penting.

“Saya juga telah menyatakan kebimbangan saya dengan keadaan di mana Kerajaan Negeri Perak belum membentangkan belanjawan negeri untuk tahun 2023 dan kemelut politik mesti dirungkai segera demi kepentingan rakyat.

“Saya tegaskan, PN berlapang dada dan terbuka untuk bekerjasama, namun pihak beliau bertegas untuk PN menawarkan tawaran jawatan-jawatan penting dalam kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya lagi, Saarani memohon untuk merujuk kepada kepimpinan Umno sebelum membuat apa-apa persetujuan.

“Namun, pada hari ini beliau dan kepimpinan Umno telah menyelamatkan jawatan Menteri Besar yang dipegangnya sambil menipu perwakilan Perhimpunan Agung Umno yang lalu dengan slogan ‘No DAP!’,” ujarnya lagi.

Faizal berkata, tanggungjawab sebagai Menteri Besar Perak adalah amat besar dan seharusnya sumpah setia jawatan yang dibacakan dengan kalimah suci tidak disusuli dengan penipuan kepada rakyat jelata. – HARAKAHDAILY 21/11/2022