Presiden Umno tidak boleh pandai-pandai runding PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekumpulan ketua bahagian Umno dari seluruh negara hari ini berhimpun di di Pusat Dagangan Dunia (WTC) mendesak Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur segera bagi mengelakkan ‘diguling’ dengan cara mengaibkan.

- Advertisement -

Ketua Umno Batu, Dato’ Yahya Mat Ghani berkata, ketua-ketua Umno yang datang dari seluruh negara membantah tindakan Zahid berunding dengan Pakatan Harapan (PH) tanpa mendapat mandat dari Majlis Tertinggi Umno.

Sedangkan katanya Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun lepas memutuskan ‘No Anwar No DAP’ yang dipegang semua ahli Umno sehingga sekarang.

“Kalau Presiden hendak rombak semula keputusan itu hendaklah memanggil semula PAU bagi merubah pendirian tersebut.

“Presiden tiada hak untuk merubah apa yang dipersetujui ketika itu. Kalau hendak ubah kena panggil semula PAU bagi mengelakkan ahli-ahli di peringkat akar umbi keliru,” katanya pada sidang media di bangunan WTC petang ini.

Hadir sama Ketua Umno Ketereh Tan Sri Annuar Musa, bekas ahli parlimen Pasir Salak Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Umno Jeli Dato’ Abdul Aziz Derashid serta ramai lagi.

Yahya juga berkata, Dato’ Seri Najib Razak meletak jawatan secara terhormat sebagai Presiden Umno selepas parti itu gagal mempertahankan kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Katanya ketika itu BN mendapat 79 kerusi, namun Najib lebih berjiwa besar mengambil tanggugjawab meletak jawatan bagi memberi peluang pemimpin lain mengetuai Umno.

“Dalam konteks sekarang presiden tidak boleh pandai-pandai berunding dengan pemimpin PH mengikuti kehendak sendiri.

“Kalau Zahid enggan berundur secara terhormat tengoklah langkah seterusnya yang kita akan lakukan. Lebih ramai lagi ketua-ketua bahagian akan bersama kami.

“Hari ini ramai tidak sempat hadir kerana kita hanya memaklumkan perjumpaan yang diadakan hari ini hanya pada malam tadi,” ujarnya.

Annuar pula berkata, apa yang berlaku pada Sabtu lalu rakyat bukan menolak Umno, sebaliknya tidak mahu Zahid.

Menurut beliau sekiranya Zahid enggan berundur beliau percaya krisis kepimpinan Umno akan mendalam dan parah lagi.

Kata beliau ternyata Zahid telah gagal mengemudikan Umno sehingga menyebabkan berlaku kerosakan yang lebih besar.

“Saya masih lagi ingat pada Ogos 2020 presiden menafikan menandatangani surat bagi menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Kita mendapat maklumat pada Jun 2020 perjumpaaan diadakan di Ampang bagi mengangkat Anwar sebagai perdana menteri ketika itu,” ujarnya.

Oleh itu, beliau mendesak Zahid perlu segera menyerahkan kuasa kepada pemimpin lain untuk mengemudi Umno selepas kalah teruk pada PRU15.

Beliau juga menegaskan langkah Zahid mahu membentuk kerjasama dengan PH bertentangan dengan apa dimeterai dalam PAU yang diadakan sebelum ini. – HARAKAHDAILY 21/11/2022

- Advertisement -