PN persembah nama calon MB kepada Raja Perlis petang ini

- Advertisement -

KANGAR: PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis akan mempersembahkan nama calon Menteri Besar baharu bagi mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail petang ini.

- Advertisement -

Pengerusi PN Perlis Shukri Ramli berkata PN pusat telah menyampaikan watikah kepada pihaknya untuk mempersembahkan nama calon tersebut dan pelantikan menteri besar perlu mendapat perkenan Raja Perlis sepertimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

 “Semalam kita (PN Perlis) telah melakukan perjumpaan dengan pucuk pimpinan parti dan kami sebulat suara bersetuju untuk mempersembahkan satu nama calon Menteri Besar Perlis yang baharu kepada Raja Perlis petang ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata urusan pembentukan kerajaan negeri baharu di bawah PN berjalan lancar.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada satu perjumpaan dengan jentera PN Perlis beberapa bulan lepas berkata sekiranya PN menguasai Perlis, menteri besar akan dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS sebagai menghormati parti itu yang lebih senior dalam gabungan berkenaan.

Pada PRU15, PN berjaya menyapu bersih hampir seluruh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila berjaya menawan 14 daripada 15 kerusi, selain memenangi kesemua tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar.

Hanya satu kerusi DUN dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) menerusi Gan Ay Lin daripada PKR yang mengekalkan kemenangan di DUN Indera Kayangan.

Barisan Nasional (BN) pula mencatat keputusan terburuk sepanjang PRU di Perlis, apabila gagal mempertahankan sebarang kerusi termasuk kerusi DUN Bintong susulan kekalahan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man kepada calon PN-PAS Fakhrul Anwar Ismail dengan majoriti 4,329 undi dalam persaingan enam penjuru. – BERNAMA

- Advertisement -