Pembentukan kerajaan lepasi majoriti mudah 112 kerusi

- Advertisement -

TEKA-teki terhadap pembentukan Kerajaan Persekutuan masih berjalan ketika ini dengan masing-masing gabungan utama Pakatan Harapan (PH) mahupun PERIKATAN NASIONAL (PN) menyatakan sudah mempunyai majoriti untuk memerintah. 

- Advertisement -

Tumpuan sebenarnya terarah kepada Barisan Nasional (BN). Presidennya cenderung bekerjasama dengan PH dan sudah menyatakan kesediaan ke arah pembentukan jajaran tersebut.

Namun, usaha itu tidak semudah yang disangka kerana majoriti Ahli Parlimen yang lain mahu bersama PN. Ia adalah prinsip yang selari dengan pendirian Perhimpunan Agong Umno sendiri yang menegaskan ‘No DAP, No Anwar Ibrahim‘.

Dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan jelas mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan. 

Sebahagian pengamal undang-undang membahaskan penggunaan istilah ‘pada hemat baginda’ dan ‘kepercayaan majoriti’ yang berada pada garisan kabur mengenai nombor sebenar yang diperlukan. 

Satu pandang sisi yang lain pula adalah perkaitan dengan tindakan melompat parti jika sebahagian Ahli Parlimen BN menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. 

Dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, tindakan melompat parti dirujuk kepada:

I. Melepaskan keanggotaan parti politik itu,

II. Tidak lagi menjadi anggota parti politik itu,

III. Setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota parti itu, dia menyertai suatu parti politik sebagai anggota. 

Berdasarkan kenyataan-kenyataan semasa, lebih 20 Ahli Parlimen BN mahu kekal sebagai pembangkang tetapi bersedia memberikan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin.

Tindakan sedemikian lebih mirip kepada ‘crossing the floor’. Ia tidak menyalahi mana-mana peruntukan untuk dianggap sebagai telah melompat parti. 

Ini kerana mereka kekal dalam parti masing-masing, tidak keluar parti menyertai PERIKATAN NASIONAL serta tindakan tersebut juga tidak bertentangan dengan prinsip parti mereka sendiri. 

Cuma yang menjadi persoalan adalah adakah perjanjian yang didakwa Zahid Hamidi begitu mengikat Ahli Parlimen BN sehingga boleh menyebabkan mereka gugur keanggotaan BN? 

Selain itu, ramai yang mula mendakwa PH wajar diberikan mandat kerana perolehan kerusi paling besar untuk memerintah. 

Hakikatnya mana-mana gabungan yang melepasi garisan 112 kerusi wajar diberi peluang memerintah. 

Kedudukan semasa gabungan parti ketika ini menyaksikan gabungan PN-GPS-GRS mendahului dan dengan sokongan sebahagian Ahli Parlimen BN akan mencukupkan kepercayaan majoriti kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia. 

HAMZAH ASAD
Mahasiswa – HARAKAHDAILY 21/11/2022

- Advertisement -