Pasca PRU-15: Tergantung tak bertali?

PILIHAN Raya Umum ke-15 memperlihatkan pertembungan 4 penjuru utama di antara Pakatan Harapan (PH), PERIKATAN NASIONAL (PN), Barisan Nasional (BN) dan juga Gerakan Tanah Air (GTA) dapat dilihat berlakunya persaingan yang sengit terutamanya PN dan PH. 

Advertisement

Selepas keputusan pilihan raya dikeluarkan, kita dapat melihat bahawa kerajaan masih belum dapat dibentuk sehingga adanya blok yang mempunyai jumlah majoriti untuk berbuat demikian.

Rakyat juga tidak senang duduk dek kerana mengharapkan kerajaan yang baru dapat didirikan setelah berakhirnya pilihan raya sesegera mungkin.

Kerajaan yang stabil perlu dibentuk dengan segera demi masa depan negara yang lebih baik. 

Kerajaan yang dibentuk perlu mempunyai objektif, misi dan visi yang jelas dan realistik sama ada ia mampu dicapai dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang. 

Dalam pada itu, barisan pemimpin yang bakal menggalas jawatan sebagai menteri juga perlu diingat bahawa mereka dipilih oleh rakyat berdasarkan pencapaian dan kepakaran bagi menyelesaikan masalah serta melakukan penambahbaikan dalam negara. 

Ini merupakan satu tanggungjawab yang besar perlu digalas oleh pemimpin di luar sana kerana mereka bukan sahaja perlu meneruskan penambahbaikan negara pasca pandemik COVID-19 malahan perlu mempunyai perancangan yang ampuh bagi menghadapi krisis ekonomi besar yang bakal melanda pada tahun 2023.

Kemudian, pembawaan kesatuan juga perlu kepada pemimpin-pemimpin negara, dan tidak sepatutnya berlaku perpecahan. 

Hari ini kita melihat bahawa berlaku satu keretakan yang besar di dalam blok Barisan Nasional apabila mereka mengalami kekalahan yang teruk pada PRU kali ini, mengulang kembali sejarah yang IaIu. 

Dalam hal ini, perkara yang paling utama yang perlu dilihat adalah membentuk satu kerajaan. Sikap egoistik, mementingkan kedudukan dan manfaat persendirian perlu dibuang di dalam diri seorang pemimpin. 

Pemimpin harus bersikap profesional dan bersifat sebagai seorang negarawan, menjadikan rakyat sebagai fokus utama dalam menerajui sesebuah negara. Kita dapat mengambil contoh seperti Negeri Sabah dan Sarawak bagaimana kepimpinan yang dibentuk di atas rakyat yang berbilang etnik, agama dan kaum yang berbeza. 

Pentadbiran ini boleh menjadi rujukan kepada Kerajaan Persekutuan yang bakal dibangunkan bagaimana kesatuan itu berlaku membentuk sebuah pentadbiran di mana di bawah pentabirannya ialah rakyat yang datang daripada agama, etnik dan kaum yang berbeza.

la juga selari dengan agama Islam yang menuntut umatnya untuk berpegang teguh pada pegangan agama secara kolektif atau jemaah dan jangan berpecah belah (Ali-‘Imran: 103).

Selain itu, rakyat juga menuntut supaya pentadbiran yang baru dapat dibangunkan segera. Rakyat telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mengundi pemimpin pilihan mereka, bukan hanya berdasarkan kepada manifesto yang telah dibentangkan kepada mereka bahkan kredibiliti, pencapaian dan sumbangan yang telah dilakukan oleh mereka. 

Sudah pastinya rakyat akan menuntut kerajaan yang baru dapat dibentuk untuk mendapatkan manfaat yang telah dijanjikan kepada mereka.

Bahkan, pembentukan kerajaan sangat diperlukan untuk menyelesaikan perkara-perkara yang melibatkan pihak pentadbiran di dalam urusan-urusan penting yang melibatkan sektor-sektor utama dalam negara antaranya sektor pembangunan, ekonomi dan sektor lain yang berkaitan. Pelabur-pelabur luar akan bertambah yakin untuk melabur ke negara kita malahan ia akan menggerakkan dan merancakkan kembali sektor ekonomi di negara kita.

Secara keseluruhannya, kita dapat melihat pemimpin-pemimpin yang datang daripada pembawakan dan pegangan yang berbeza perlu melahirkan satu matlamat yang sama dan jelas di dalam suatu kolasi untuk membentuk sebuah negara yang stabil serta menyatupadukan ummah di Malaysia. 

Dalam masa yang sama, rakyat juga perlu memberikan sokongan dan dukungan penuh kepada kerajaan supaya kerajaan dapat merealisasikan pentabiran yang terbaik dalam masa yang sama menunaikan janji yang telah diberikan kepada rakyat.

Penulis:

RAHIMEY RAHMAN
Mahasiswa Sarjana Sains Sosial (Psikologi Kaunseling)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 21/11/2022