PAS sentiasa amalkan perbincangan dalam kerajaan

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS memberi jaminan akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan semua rakan kongsi dalam Kerajaan meskipun mempunyai jumlah kerusi terbesar dalam kalangan parti-parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.

- Advertisement -

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, perkara itu telah dibuktikan semasa penyertaan PAS dalam Kerajaan Persekutuan selama 31 bulan sebelum ini.

Tambahnya, dalam tempoh itu PAS sentiasa akur kepada segala keputusan bersama (collective decision) sama ada di dalam Jemaah Kabinet mahupun di peringkat kementerian dan agensi kerajaan.

Beliau berkata, PAS sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, adat resam dan agama dan mengakui hak dan kebebasan mereka mengamalkan cara hidup masing-masing berdasarkan jaminan Perlembagaan Persekutuan.

“PAS telah membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui oleh PAS di Kelantan lebih darpadai 30 tahun,” ujarnya dalam kenyataan, malam ini.

Justeru itu, ujar beliau PAS menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa PAS akan menggunakan kedudukan yang lebih dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang menekan mana-mana pihak, apatah lagi di negeri-negeri Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani penghidupan yang harmoni mengikut adat resam dan agama masing-masing.

“Malahan PAS amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu ‘tiada paksaan dalam beragama’ dengan mana tidak boleh dipaksa seseorang bukan Islam untuk menganut Islam melainkan atas kerelaan dan kefahaman mereka sendiri,” jelasnya.

PAS juga, kata beliau ingin menarik perhatian bahawa pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PAS terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kelayakan termasuk sebilangan besarnya para profesional dalam pelbagai bidang.

“Dengan demikian mereka akan menunaikan tanggungjawab secara profesional juga apabila diberikan kedudukan dan peranan di dalam kerajaan dan agensinya,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 21/11/2022

- Advertisement -