Kelab malam LGBTQ diserang hendap: 5 maut, 18 cedera

Serangan maut di Club Q, Colorado Springs, Colorado, Amerika Syarikat pada tengah malam 19 Nov 2022 (FOTO: Lawandcrime.com)
- Advertisement -

COLORADO SPRINGS: Seorang lelaki bersenjata berusia 22 tahun melepaskan tembakan di sebuah kelab malam lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) di Colorado Springs,  Amerika Syarikat membunuh lima orang dan mencederakan 18 yang lain.

- Advertisement -

Ketua Polis tempatan, Adrian Vasquez berkata pada Ahad waktu tempatan dalam kejadian pada lewat malam Sabtu itu, penyerang berjaya ditahan oleh pengunjung kelab  malam berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis, lapor CNBC.

“Dua senjata api, termasuk senapang panjang, ditemui di Club Q selepas tembakan malam Sabtu,” ujar Vasquez.

Peguam Daerah El Paso County, Michael Allen pula berkata, penyiasat masih menentukan motif serangan itu yang kini sedang disiasat untuk meneliti sama ada ia meningkat kepada tahap jenayah kebencian terhadap golongan LGBTQ.

Ketua Polis Colorado Springs, Adrian Vasquez dalam sidang media pada 21 Nov 2022. (FOTO: CNN)

Dalam pada itu, pihak polis  telah  mengenal pasti penyerang tersebut lelaki bersenjata itu sebagai Anderson Lee Aldrich, yang kini dirawat kerana mengalami kecederaan, sementara seorang mangsa yang terbunuh telah di kenal pasti sebagai Daniel Davis Aston, seorang pelayan bar di Club Q.

“Seorang lelaki dengan nama dan umur yang sama telah ditangkap pada  tahun 2021 selepas ibunya melaporkan dia mengancamnya dengan ‘bom buatan sendiri, pelbagai senjata dan peluru’,” tambah Vasquez.

Pembunuhan beramai-ramai keenam Nov, 2022

Menurut beliau, pihaknya belum dapat  mengesahkan sama ada orang itu adalah individu yang sama (Anderson Lee Aldrich), dengan siasatan sedang dilakukan.

“Pihak berkuasa telah menerima panggilan kecemasan dari Club Q pada jam 11.57 malam. Sabtu dengan laporan berlaku serangan tembakan, dan pegawai pertama tiba di lokasi kejadian pada tengah malam.

Seorang pegawai polis keluar dari keretanya berhampiran lokasi kejadian di sebuah kelab malam gay di Colorado Springs, Colorado pada 20 November 2022. (FOTO: AP)

“Sekurang-kurangnya dua orang pengunjung kelab malam tersebut yang  berhadapan dengan lelaki bersenjata itu berjaya menahannya,” kata Vasquez.

Sementara, Peguam Negara, Merrick Garland telah diberi taklimat mengenai tembakan itu, kata jurucakap Jabatan Kehakiman Anthony Coley. FBI berkata, ia turut membantu siasatan tetapi berkata jabatan polis mengetuai siasatan.

Serangan ganas terhadap orang awam itu adalah kejadian pembunuhan beramai-ramai keenam pada bulan ini di AS dan berlaku dalam setahun selepas negara itu digemparkan dengan kematian 21 orang dalam kejadian tembakan di sebuah sekolah di Uvalde, Texas.

Gabenor Colorado, Jared Polis, yang menjadi lelaki gay pertama di AS yang dipilih sebagai gabenor pada 2018, berkata berita serangan itu sebagai ‘memualkan’.

Saudara mara mangsa di lokasi kejadian pada 20 Nov 2022. (FOTO: The Colorado Sun)

“Hati saya hancur untuk keluarga dan rakan-rakan mereka yang hilang, cedera, dan trauma dalam serangan tembakan ngeri ini. Saya telah bercakap dengan Datuk Bandar, (John) Suthers dan menjelaskan bahawa setiap sumber negeri bersedia untuk penguatkuasaan undang-undang tempatan di Colorado Springs,” ujarnya. 

Walaupun motif serangan masih belum jelas, ejadian itu dikatakan berlaku apabila hasil pencetusan gerakan retorik anti-gay telah didalangi oleh puak pelampau. 

Dalam satu kenyataan, Club Q menyebut kejadian itu sebagai serangan kebencian terhadap komuniti LGBTQ di situ.

“Club Q musnah dengan serangan tidak masuk akal ke atas komuniti kami,” tulis kelab itu di laman Facebooknya, lapor CNN.

Seranngan itu berlaku semasa Minggu Kesedaran Transgender dan beberapa jam sebelum Hari Peringatan Transgender Antarabangsa pada Ahad, apabila acara di seluruh dunia diadakan untuk berkabung dan mengingati transgender yang tewas akibat keganasan terhadap golongan tersebut. 

Kementerian Kristian evangelis terkemuka, Focus on the Family terdapat di Colorado Springs. (FOTO: The Wind)

Gerakan anti-gay

Colorado Springs adalah sebuah bandar dengan populasi kira-kira 480,000 yang terletak kira-kira 70 batu (112 kilometer) di selatan Denver yang merupakan lokasi penempatan Akademi Tentera Udara AS, serta sebuah kementerian Kristian evangelis terkemuka, Focus on the Family.

Pada November 2015, tiga orang terbunuh dan lapan cedera di sebuah klinik Planned Parenthood di bandar itu apabila pihak berkuasa berkata seorang lelaki melepaskan tembakan kerana dia mahu melancarkan ‘peperangan’ ke atas klinik itu kerana ia melakukan pengguguran.

Serangan itu juga  mengimbau kembali kejadian pembunuhan beramai-ramai pada  2016 di kelab malam gay, Pulse di Orlando, Florida, yang mengorbankan 49 orang. 

Ia juga mengulangi kejadian beberapa pembunuhan besar-besaran yang menggemparkan di AS, termasuk di Sekolah Tinggi Columbine pada tahun 1999, di panggung wayang di pinggir bandar Denver pada tahun 2012 dan di pasar raya Boulder pada tahun lepas.

Seorang mangsa yang terbunuh dalam serangan di Club Q, Daniel Davis Aston. (FOTO: ABC News)

Wakil Demokrat Adam Schiff dari California berkata di Twitter dia ‘muak dan ngeri’ dengan  kejadian serangan terbaharu di Colorado Springs itu, sambil menambah: “Komuniti LGBTQ sekali lagi menjadi sasaran keganasan yang paling dahsyat.” 

Terdahulu pada Jun tahun ini, seramai 31 ahli kumpulan neo-Nazi Patriot Front telah ditangkap di Coeur d’Alene, Idaho, dan didakwa dengan konspirasi untuk merusuh di acara perarakan LGBTQ. 

Pakar memberi amaran bahawa kumpulan pelampau boleh melihat retorik anti-gay sebagai seruan untuk bertindak memusnahkan golongan tersebut.

Pada bulan sebelumnya, seorang paderi fundamentalis Idaho memberitahu jemaah Boise kecilnya bahawa golongan gay, lesbian dan transgender harus dihukum bunuh oleh kerajaan, yang sejajar dengan khutbah serupa daripada paderi fundamentalis Texas.

Merujuk kepada data The Associated Press/USA Today, sejak 2006 hingga 19 Nov 2022,  telah berlaku 523 pembunuhan beramai-ramai di tempat awam di AS yang menyebabkan jumlah kematian keseluruhan dicatat mencecah 2,727 orang. – HARAKAHDAILY 21/11/2022

- Advertisement -