Ke manakah Umno hendak dibawa Zahid?

WALAUPUN Umno adalah komponen Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH), namun Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedaya upaya cuba menggulingkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mengangkat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, sekadar untuk menunjukkan ‘kekuatan sebenar’ Umno. Dia akhirnya berjaya.

Advertisement

Semasa pentadbiran Ismail Sabri pula, pelbagai desakan beliau dikenakan kepada Ismail Sabri dalam pembentukan Kabinet. Kemudian beliau menekan Ismail Sabri untuk segera membubarkan Parlimen pula, walaupun pada musim banjir. Dia akhirnya berjaya juga.

Setelah Pilihan Raya Umum ke-15 berakhir, Umno mendapat jumlah kerusi yang paling sedikit dalam sejarah penyertaan mereka dalam pilihan raya. Kali ini beliau tidak berjaya.

Umno tidak mampu membentuk kerajaan. Umno hanya mampu untuk membuat pilihan, sama ada bersama blok PN atau PH.

Sekarang Zahid tidak mahu bersama dengan PN pula. Beliau membayangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) akan dibawa kepada PH, walaupun PH dan BN tetap tidak akan mampu membentuk kerajaan juga.

Sesuatu yang tidak pernah kita bayangkan, di mana Umno akan sanggup bersama blok PH di mana sekarang dikuasai oleh majoriti Ahli Parlimen DAP.

Nampaknya Zahid masih berpolitik secara tidak matang. Beliau cuba menggunakan strategi ‘bumi hangus’. Jika BN tidak menang, PN pun tak boleh menang, walaupun negara akan menjadi tidak stabil.

Zahid sedang menggunakan ‘kuasa’ Presiden Umno yang masih ada pada beliau untuk tidak melayan pendapat pemimpin dan Ahli Parlimen BN yang lain. ‘No to PN’, bukan ‘No to DAP’.

Dua persoalan di benak pemikiran kita;

Adakah Zahid memang anti kestabilan negara? Adakah Umno akhirnya berjaya disatukan dengan DAP oleh Anwar?

Nampaknya Zahid hanyalah seorang ahli politik yang masih mahu terus ‘berpolitiking’ mencari untung sejengkal, walaupun dengan cara yang merugikan negara dan rakyat Malaysia. 

Berpolitiking seperti ini, nanti Zahid dan BN akan rugi sehasta.

USTAZ ZAKARIA ISMAIL 
Marang, 21 November 2022 – HARAKAHDAHDAILY 21/11/2022